KLIA huru-hara: Menteri perlu letak jawatan

- Advertisement -

KEJADIAN huru-hara di KLIA akibat kegagalan Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Menyeluruh (TAMS) beberapa hari yang lepas adalah memalukan negara serta memberi implikasi negatif yang besar kepada ramai pihak. Saya berpandangan dalam insiden seperti ini Menteri Pengangkutan perlu meletak jawatan

- Advertisement -

marzukIni bersesuaian dengan gesaan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin sebelum ini yang meminta menteri yang kurang menyerlah supaya meletak jawatan.

KLIA adalah infrastruktur kritikal negara. Sebarang insiden yang berlaku akan memberi kesan besar kepada keyakinan pelabur dan pelancong asing. Jika kemudahan infrastruktur kritikal seperti KLIA pun sebegini rupa, bagaimanakah pula persepsi dunia terhadap infrastruktur negara yang lain seperti jalan raya, komunikasi, tenaga elektrik, empangan, dan air.

KLIA sepatutnya memiliki sistem sokongan yang berkesan jika sistem rangkaian utama terganggu. Proses peralihan kepada sistem sokongan sepatutnya berlaku dalam beberapa saat sahaja dan tanpa disedari pun oleh pengguna. Malangnya KLIA terpaksa menggunakan sistem manual dalam menangani permasalahan ini, termasuk menggunakan papan putih yang ditulis dengan pen penanda bagi memaparkan maklumat penerbangan.

Tragedi 911 – stock trading bursa saham New York mampu beroperasi semula selepas bangunan World Trade Center runtuh akibat serangan pengganas. Kerana bursa saham New York ada Business Continuity Plan (BCP) dan Disaster Recovery Center (DRC) berdasarkan Disaster Recovery Plan (DRP) yang mereka wujudkan jauh lebih awal dalam menangani apa sahaja bentuk ancaman terhadap kemudahan utama.

Persoalannya:

1. Kenapa proses peralihan sistem sokongan ini seolah-olah tidak berlaku sehingga menyebabkan gangguan terhadap sistem utama KLIA selama beberapa hari?

2. Adakah business continuity plan (BCP) wujud di KLIA atau infrastruktur kritikal yang lain?

3. Adakah wujud Disaster Recovery Plan (DRP) di infrastruktur kritikal  yang lain untuk menangani apa sahaja gangguan terhadap infrastruktur itu jika berlaku apa sahaja bentuk gangguan.

4. Apakah wujud kekerapan latihan kepada anggota MAHB dan KLIA berdasarkan Disaster Recovery Plan (DRP) yang sedia dalam memastikan seluruh anggota sokongan perkhidmatan itu sentiasa bersiap siaga.

5. Bilakah kali terakhir infrastruktur sistem rangkaian (core network switch) sepatutnya dinaik taraf? Berapakah jumlah dana atau peruntukan telah disalurkan untuk tujuan tersebut? Ini kerana Kementerian Pengangkutan sepatutnya mengutamakan perkara penting ini.

Apa yang sangat membimbangkan kita kejadian ini akan memberi kesan kepada pelaburan asing yang sangat sensisitif dengan kestabilan sesebuah negara. Bayangkan hanya keceluparan mulut menteri kewangan dengan dakwaan rompakan duit refund GST 19.4 billion dan jumlah 1 trillion hutang negara telah memberi kesan yang sangat signifikan terhadap keyakinan pelabur dan akhirmya memberi impak buruk kepada ekonomi negara.

Segala persoalan dan kegagalan ini, saya mencadangkan Menteri Pengangkutan seharusnya mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan.

Walaubagaimanapun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga KLIA dan MAHB, khasnya kepada kerana mampu memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan perkhidmatan di KLIA terus beroperasi dengan baik dan selesa demi kebaikan pengguna tempatan dan asing di lapangan terbang kebanggaan negara.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
25 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 25/8/2019

- Advertisement -