Ta’awun PAS-Umno hadapi ancaman terhadap Islam

- Advertisement -

GOMBAK: Kerajaan PH yang memerintah negara ketika ini langsung tidak peka dan gagal bertegas menghadapi pelbagai isu melanda negara, demikian menurut Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Nassuruddin Daud.

- Advertisement -

Lantaran itulah menurutnya, terdapat pemimpin negara dan individu yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti menghina Angkatan Tentera Malaysia sebagai ‘hanya makan dan tidur sahaja’.

“Hari ini mudah sahaja, keluarkan kenyataan yang biadab dan menyinggung perasaan umat Islam, kemudian buat permohonan maaf dan terus dianggap selesai,” ujarnya yang juga Adun Meranti.

Beliau berucap demikian pada Hiwar Penerangan bertajuk ‘Ta’awun Siyasi’ anjuran Lajnah Penerangan PAS Kawasan Gombak di Pusat Tarbiyah dan Dakwah Dun Hulu Kelang, Taman Permata, di sini semalam.

Mengulas isu panas mengenai khat Jawi, beliau mengimbas penggunaan tulisan itu dalam Surat Pengisytiharan Merdeka, Surat Perjanjian Pangkor, Surat Beranak dan Geran Tanah dahulu.

“Ini bererti, tulisan Jawi bukanlah asing bagi masyarakat Tanah Melayu sebelum merdeka dan selepasnya. Malah saya sokong JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk keluarkan sijil Halal dalam tulisan Jawi hanya pada peniaga Muslim,” ujarnya menggesa tidak diberi kepada peniaga bukan Muslim.

Selain turut menyentuh isu Dr Zakir Naik, Ustaz Nassuruddin juga mengulas kontroversi pemasangan bendera terbalik yang dipertegaskannya kepentingan bersifat simbolik dan maruah itu.

Hal itu dikaitkannya dengan sirah Perang Mu’tah yang diamanahkan Rasulullah S.A.W kepada tiga Sahabat R.A iaitu Zaid Harithah, Jaafar Abi Talib dan Abdullah Rawahah untuk membawa panji Islam.

Seru beliau, atas banyaknya isu yang khususnya menimpa ke atas Islam dan umatnya di negara ini, sekali gus menuntut kesatuan demi kelangsungan survival Islam di bumi Malaysia ini.

Menjawab pertanyaan mengenai pesanan Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat agar tidak berkawan dengan Umno, jelasnya ungkapan itu ketika Umno menerajui Kerajaan Pusat, tetapi kini parti itu berada di blok Pembangkang.

Manakala soalan berkaitan rasuah ditegaskannya bahawa PAS tetap dengan prinsip untuk perkara itu diserahkan kepada badan perundangan menanganinya dengan pendakwaan termasuk ke atas pemimpin PAS.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Gombak, Ustaz Syarhan Humaizi Halim memaklumkan, tujuan program tersebut adalah untuk memberi ruang kepada ahli bersoal jawab dengan pimpinan PAS Pusat.

Beliau turut mengingatkan bahawa ahli di semua peringkat mempunyai peranan sebagai ‘lidah rasmi’ PAS menerangkan isu-isu melanda umat Islam di mana program ini turut dihadiri Setiausaha PAS Gombak, Khairul Fahmi Mat Som. – HARAKAHDAILY 24/8/2019

IMG 20190824 WA0043

IMG 20190824 WA0040

- Advertisement -