Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?

- Advertisement -

KEBELAKANGAN ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk memperkenalkannya di Malaysia.

- Advertisement -

Sebelum pergi lebih lanjut, kita telusuri dulu apa sebenarnya gojek ini. Gojek merupakan aplikasi yang menawarkan servis seperti pengangkutan, penghantaran makanan, kurier, pembelian barang, pembayaran atas talian dan banyak lagi yang ditawarkan.

Negara asal gojek iaitu Indonesia. Ia diasaskan oleh seorang anak muda bernama Nadiem Makarim berumur 35 tahun. Syarikatnya ditubuhkan pada 2010. Nadiem Makarim mendapat ilham apabila beliau selalu menggunakan servis teksi motosikal yang dikenali di Indonesia iaitu ojek. Beliau melihat ia adalah peluang besar bagi bisnes pengangkutan e-hailing dan dari idea tertubuhnya gojek.

Go-Jek yang bermula dengan 20 orang rider Ojek bertahan dan akhirnya mendapat suntikan dana hingga USD1.3b. Nilaian syarikat gojek berada didalam anggaran USD10b mengikut pasaran semasa hari ini. Ini membuatkan gojek merupakan syarikat kedua e-hailing terbesar di belakang Grab di Asia Tenggara.

Mengapakah gojek mahu dibawa ke Malaysia?

Antara yang dinyatakan oleh menteri adalah bagi menambah pendapatan anak muda dan memberi peluang pekerjaan kepada “mat motor” di Malaysia. Selain itu, mengikut Menteri KPDNHEP, Saifudin Nasution, berdasarkan satu kajian melibatkan 80,000 pengguna e-dagang di rantau Asean mendapati Malaysia mempunyai masa penghantaran purata e-dagang yang terpanjang berbanding negara lain. Masa penghantaran purata e-dagang di Malaysia adalah 5.8 hari berbanding purata 3.8 hari di rantau Asean.

Tidak dinafikan goek adalah satu jenis perkhidmatan teksi motosikal yang murah daripada segi kos kepada pengguna dan cepat. Ia dapat mengharungi kesesakan di waktu puncak menuju destinasi dengan kadar waktu yang lebih pantas tanpa perlu tersangkut di dalam kesesakan di jalan raya.

Menambah peluang pekerjaan anak muda

Tidak dinafikan jika gojek dibenarkan beroperasi ia bakal memberi peluang pekerjaan dan menambah pendapatan bagi golongan muda. Cuma jika kita lihat daripada sudut pandang yang berbeza, adakah anak muda kita hanya perlu menjadi “follower” bukannya “trendsetter”. Bidang pertanian, perniagaan, perikanan, perladangan, perkilangan, perusahaan pembuatan. Banyak lagi yang terlalu jauh untuk anak muda kita perlu fokuskan. Kebergantungan kepada pekerjaan alaf baru e-dagang ini memberi kesan negatif bagi jangka masa panjang. Merencatkan kreativiti anak muda di Malaysia khususnya bangsa Melayu dan Bumiputera.

Adakah daripada sudut keselamatan pengangkutan teksi motosikal ini selamat?

Kadar kemalangan motosikal di Malaysia merupakan paling tinggi dengan kadar maut yang cukup menggerunkan. Faktor ini menyebabkan gojek bukanlah pilihan yang ideal jika anda seorang yang mementingkan aspek keselamatan.

Persaingan sihat?

Pengusaha dan pemandu teksi, masih lagi didalam dilema dan terkesan bila kerajaan membenarkan e-hailing seperti Uber dan Grab dibenarkan beroperasi. Walaupun Uber sudah tiada, kewujudan Grab dan syarikat e-hailing lain turut menyumbang kejatuhan industri teksi di negara kita. Grab merupakan abang besar di dalam industri e-hailing, apabila ia dicabar oleh pesaing yang punyai kekuatan yang sama. Ia bakal menguntungkan pengguna secara amnya melalui perang harga.

Dego Ride adalah sistem aplikasi yang sama tujuannya seperti gojek. Ia diasaskan oleh anak tempatan Nabil Faisal Bamadhaj. Bermula 2016 kemudian dihentikan operasinya pada 2017 oleh Kementerian Pengangkutan atas faktor keselamatan penumpang. Kini syarikat ini boleh menarik nafas lega jika kebenaran diberikan semula.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, perkhidmatan gojek ini tidak islamik di mana jika penunggang dan pemboncengnya bukan mahram, ia boleh menimbulkan fitnah. Bagaimana jika isteri atau adik perempuan anda yang menggunakan perkhidmatan gojek ini? Adakah ia sesuai atau anda berasa selamat?

Sudut perundangan

Kerajaan perlu memperhalusi setiap aspek pelaksanaan undang-undang bagi mengelakkan polemik yang tidak berkesudahan sebelum ia dilaksanakan. Kita tidak mahu pisang berbuah 3 kali. Lihat kepada kes e-hailing seperti Uber dan Grab untuk dijadikan pengajaran.

Sistem pengangkutan awam di Malaysia masih lagi perlu diperbaiki dan dipertingkatkan. Kerajaan perlu serius menangani isu ini secara tuntas dengan penyelesaian jangka masa panjang. Jangan hanya kerana mahu menambah pelaburan asing di dalam negara kebajikan rakyat terbanyak diabaikan. Bak kata pepatah, ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan oleh kerajaan hari ini? –HARAKAHDAILY 24/8/2019

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Kepenggunaan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

- Advertisement -