Penyatuan Ummah: 20,000 sertai H3MB di Terengganu

h1
- Advertisement -

KUALA NERUS: Lebih 20,000 umat Islam di tiga buah negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang hadir menyertai Himpunan 3 Menteri Besar (H3MB) Pantai Timur, sekali gus sebagai permulaan ‘Gelombang Penyatuan Ummah’.

- Advertisement -

Menter Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, himpunan tiga menteri besar ini diadakan selaras dengan sambutan bulan kemerdekaan yang melangkaui sempadan politik kepartian dan kenegerian.

Katanya, tiga buah kerajaan yang diterajui oleh dua buah parti yang berbeza sudah tentu memberi petunjuk baharu terhadap suasana politik yang bakal dilakari di masa hadapan.

“Iaitu kita membina keharmonian baharu yang berpijak di alam realiti dengan asas penyatuan dan perpaduan. Usaha kita untuk menyatukan masyarakat yang pelbagai ragam dan sejarah etnik ini tentunya bukan mudah.

“Kita boleh disepadukan untuk membina keharmonian ini kerana kita mengerti struktur masyarakat yang ada dalam negeri-negeri kita Kelantan, Terengganu dan Pahang ini.

“Walaupun dari mana latar belakang parti politik adalah seperti peribahasa Melayu ‘biduk lalu kiambang bertaut’, ‘sekali perahu lalu, sekali kiambang berkuak’.

“Asas yang boleh menyatukan kita ialah Islam. Inilah yang menyatukan kita iaitu al-Quran dan Sunah sebagai cara hidup yang berpandukan pada panduan hakiki, yang membawa kita kesejahteraan yang berkekalan di hari akhirat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, malam tadi.

Selain beliau turut berucap iaitu Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dan Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di hadapan ribuan hadirin yang bermula dari jam 6.00 petang hingga 11.30 malam.

Justeru, kata Dr Samsuri, menjadi tanggungjawab kepada kepimpinan politik PAS dan Umno merancang, menyusun atur, mentafsir dan menjadikan panduan ini sebagai urusan praktikal di alam nyata pada waktu ini.

“Dengan perasaan hati yang penuh ikhlas, saya mengajak umat Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya untuk kita bersatu hati dan tekad, untuk menyelamatkan kembali negara kita dan generasi semasa.

“Fikirkanlah masa depan anak cucu kita yang sedang berada disisi kita ini. Anak cucu yang sedang tidur dalam buaian, anak muda dan rakyat yang mundar-mandir meneruskan kehidupan.

“Bagaimana kita mahu mewariskan negara ini kepada mereka dan janganlah kita menjadi seperti peribahasa, ‘sudah terhantuk baru tengadah’, ‘sakit perut baharu tahu di liang lantai’ ‘sudah kalah baru berkukuk’,” jelasnya mengungkap peribahasa Melayu.

Menurut beliau, carilah asas kepada penyatuan rakyat Malaysia ini yang mempunyai kepelbagaian latar belakang kaum, budaya, bahasa ibunda dan sebagainya.

Namun, kata menteri besar itu wajar berpegang kepada asas pembentukan negara ini dengan mengambil kira keperluan rakyat terbanyak yang dijamin dalam Perlembagaan Negara.

Acara himpunan itu bermula seawal jam 5.30 petang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mengetuai konvoi bermotosikal mengiringi tiga orang Menteri Besar itu daripada dataran drawbridge ke stadium berkenaan.

Sebelum kemuncak Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur itu, solat maghrib di stadium itu diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Ustaz Mokhtar Salleh dan Bicara Ummah Bersama Ustaz Azhar Idrus.

Ribuan kenderaan persendirian termasuk puluhan buah bas daripada Kelantan dan Pahang kelihatan memenuhi kawasan parkir stadium yang dianggarkan lebih 20,000 hadirin. – HARAKAHDAILY 23/8/2019

h2

h4

h5

h3

- Advertisement -