Pemuda PAS sokong MB Perak, Paul Yong direhatkan

- Advertisement -
JABATAN Peguam Negara telah memaklumkan tentang dakwaan yang akan dikenakan kepada Paul Yong, ADUN Tronoh yang juga merupakan Bendahari DAP Perak atas tuduhan merogol amah semalam. Pemuda PAS Perak menyatakan sepenuh sokongan kepada Menteri Besar Perak, Dato Faizal Azumu agar exco Kerajaan Perak itu dicutikan dari sebarang tugas-tugas rasmi beliau sehingga proses perbicaraan selesai. Pendirian ini seperti yang telah DPPN Perak nyatakan sebelum ini.
 
ADUN DAP ini telah menjalani proses penyiasatan hampir sebulan lamanya, dan kini akan melalui fasa kedua dalam proses keadilan iaitu proses pendakwaan. DPPN Perak menegaskan proses pendakwaan ini hendaklah berjalan dengan telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak berkepentingan. 
 
Pemuda PAS Perak maklum amalan biasa perlaksanaan proses keadilan, sesuatu kertas siasatan akan diangkat ke unit pendakwaan, dan setelah melalui proses semakan pendakwaan dengan justifikasi yang kuat, ianya akan dipanjangkan ke mahkamah. Amalan ini sangat baik, namun kelompongannnya adalah pada tangan-tangan yang mengurus ketika proses ini berjalan.
 
DPPN Perak ingin memberi ingatan kepada pihak Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Peguam Negara dan pihak-pihak yang terlibat samada yang akan atau sedang berusaha menutup pekung diri khususnya DAP Perak. Jangan sesekali mengulangi kes tuduhan rasuah banglo Lim Guan Eng yang telah digugurkan setelah melalui fasa pendakwaan dan perbicaraan. Lebih tidak bermaruah bilamana SPRM menyatakan melalui Kenyataan rasmi bertarikh 3 September 2018 bahawa mereka terkejut dan memaklumkan keputusan menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara. 
 
Pemuda PAS Perak menyatakan bahawa wayang politik sebegini pernah dimainkan DAP. Sekaligus kami memberi peringatan dan amaran agar biarlah perjalanan kes YB Paul Yong ini dilaksanakan dengan penuh adil tanpa campur tangan mana-mana pihak. Jadilah pemimpin dan kerajaan yang bermaruah.
 
Penegasan di atas kami akhiri dengan prinsip islam bahawa seseorang itu tidak bersalah selagimana tidak dibuktikan ia bersalah. Prinsip ini untuk semua, bukan digunakan ketika mahu memenuhi nafsu politik sahaja. Kami menghormati PDRM, Jabatan Peguam Negara dan Kerajaan Negeri Perak. Beginilah caranya dengan memberi pesanan agar semak imbang ini meletakkan neraca keadilan sentiasa menjadi keutamaan ketika berhukum.
 
Biarkan Mahkamah membersihkan nama beliau!
 
AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua 
Dewan Pemuda PAS Perak – HARAKAHDAILY 23/8/2019
- Advertisement -