DAP Pulau Pinang sedang gali kubur sendiri

- Advertisement -
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow seperti meraba-raba dalam gelap apabila menyatakan masih meneliti pelbagai pilihan membabitkan kaedah pengangkutan awam yang bersesuaian dengan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Pengakuan ini membuktikan hakikat bahawa Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang kabur serta tidak dapat menjamin kepastian terhadap agenda pembangunan sedang diterajuinya.
 
Ia jelas menunjukkan kepincangan telahpun bermula seawal merancang, apatah lagi sekiranya pelaksanaan nanti di mana tentunya akan menghadirkan lebih banyak impak buruk. Malah, ia menyerlahkan betapa projek ini terburu-buru dan dipenuhi serakah nafsu untuk menggapai agenda yang terselindung disebaliknya. Secara tidak langsung, Kon Yeow juga mengesahkan bantahan mengenai projek ini.
 
Bukti telahpun nyata antaranya kejadian banjir dan tanah runtuh yang begitu kerap, malah hingga membawa kepada kematian. Ia sepatut cukup menginsafkan dan menyedarkan bahawa pelan kepada projek mega ini adalah keterlaluan dan melampau dalam banyak aspek. Ia lebih kepada mengejar tujuan-tujuan lain yakni politik, berbanding hasrat sebenar untuk menangani masalah lalu lintas di bahagian pulau khususnya.
 
Ini diperkukuhkan lagi dengan perasaan malu diluahkan Kon Yeow dari kematian lebih 50,000 ikan di Teluk Bahang yang disedari berpunca dari banyak kacau ganggu ke atas alam. Apakah Kon Yeow tidak dapat lagi membezakan projek ini sama ada benar-benar sebuah pembangunan atau perosakan? Jika masih keliru hal tampak jelas seperti ini, barangkali Kon Yeow menghidapi mental disorders dan amat perlu berehat dari politik.
 
Namun, seandainya seluruh komponen projek ini tetap mahu diteruskan Kerajaan DAP Pulau Pinang bersama segala kekaburan dan kekeliruan yang diakui ini, maka ia bukti terang bahawa PTMP adalah agenda politik. Terima kasih Chow Kon Yeow atas ketelusannya pada semua penyataan tersebut yang sebenarnya sudah cukup menunjukkan bahawa DAP Pulau Pinang sedang bertindak ‘menggali kubur sendiri’.
 
PAS mencadangkan supaya segala keserabutan dan kemelut yang ditimbulkan oleh pelbagai keghairahan serta kepentingan ini diselesaikan dengan kembali kepada tujuan asal PTMP. Masalah kesesakan lalu lintas ini tidak harus dipolitikkan sebaliknya cadangan agak komprehensif dan memberi manfaat kepada rakyat awam adalah sebagaimana pelan asal dikemukakan Halcrow. Belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 23/8/2019
164667
- Advertisement -