Bila ludah itu jatuh dari langit

- Advertisement -

EXCO Perak, Paul Yong Choo Kiong adalah contoh klasik sikap tidak bertanggungjawab DAP dalam soal integriti dan kredibiliti.

- Advertisement -

Rakyat tidak lupa pada 26 Jun 2013 sewaktu DAP kononnya mendedahkan dua ahli kabinet Kerajaan Barisan Nasional yang mereka dakwa memiliki ijazah palsu dan terus sahaja menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah tegas dengan meminta mereka meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen DAP Serdang waktu itu, Dr. Ong Kian Ming berkata, kedua-dua mereka adalah Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin. Walaupun belum dibuktikan tuduhan DAP berkenaan, namun mereka telah mendesak supaya mangsa tuduhan mereka melepaskan jawatan.

Pada 10 Julai 2014, Kian Ming sekali lagi  menggesa Perdana Menteri agar mengarahkan Bung Mokhtar Radin supaya meminta maaf berhubung kenyataan “Hidup Hitler”. Bahkan beliau juga mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno supaya letak jawatan wakil rakyat dan parti.

Sewaktu Operasi Cantas dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2013 dahulu, Pemuda DAP Perak telah mendesak YB Menteri pada waktu itu, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi meletak jawatan kerana mendakwa Zahid cenderung kepada kumpulan samseng.

Setiausaha Pemuda DAP Perak, Howard Lee Chuan How dalam kenyataannya menerusi portal berita Roketkini.com menuduh Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh membela kumpulan samseng Melayu.

Ini semua hanyalah sebahagian kecil daripada contoh dan sejarah yang membuktikan bahawa DAP yang pada setiap masa menjadi jagoan dan hero dalam mendesak orang lain meletakkan jawatan dan berehat daripada jawatan hanya kerana tuduhan tuduhan dangkal mereka sendiri.

Kini, apabila Exco mereka sendiri berhadapan tuduhan rogol dan sedang dalam siasatan polis, mengapa DAP diam seribu bahasa? Di mana puak puak pemuda DAP yang lantang? Ke mana pergi integriti dan kredibiliti kalian? Rakyat perlu melihat perkara ini sebaik-baiknya.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden PERTAHAN Kelantan – HARAKAHDAILY 23/8/2019

- Advertisement -