Tiba masanya untuk membina ekonomi Muslim

- Advertisement -

SUASANA mutakhir ini kita dapat merasai gelombang kesedaran kepada umat Islam agar menguasai ekonomi. Khususnya segmen kepenggunaan seperti produk keluaran Muslim,  produk diyakini halal, mewujudkan rangkaian outlet-outlet produk Muslim, menubuhkan pasar mini dan kedai runcit mini menjual barangan Muslim dan banyak lagi.

- Advertisement -

Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, sekiranya kita mampu merencanakan dengan sebaiknya gelombang ini sudah pasti hasil yang sangat lumayan dapat dirasai oleh umat Islam dan generasi Islam akan datang.

Oleh yang demikian, sekiranya PAS dan Umno bekerjasama untuk menjayakan hasrat ini kita yakin hasilnya amat luar biasa. Ini kerana dua organisasi besar ini merupakan gabungan terbesar umat Islam di Malaysia.

Seramai 20 juta rakyat Malaysia yang beragama Islam sudah cukup menjadi penentu dalam pasaran ekonomi bagi setiap kawasan terutama penempatan Melayu Islam.

Dua gabungan organisasi besar ini mampu mengerakkan ekonomi ummah yang bergerak dari bawah, akar umbi melalui Cawangan ke Kawasan hinggalah ke Negeri dan Pusat.

Di samping itu tanggungjawab serta kesedaran sebagai umat Islam perlu ditanam kepada setiap pengusaha yang akan menceburi dalam bidang ini supaya menjadi model kepada sistem ekonomi Islam yang terbaik serta mematuhi setiap piawaiannya.

Hadis Nabi S.A.W:

“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama dengan para Nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”
[Riwayat At-Tirmizi (1209)]

Demikianlah betapa tingginya darjat orang Mukmin yang menjadi peniaga pada pandangan Islam.

Islam juga amat menitikberatkan akhlak yang baik kepada ummatnya dalam melaksanakan urusan jual beli seharian. Seperti dalam Hadis Nabi S.A.W bermaksud:

“Allah mengasihi seseorang lelaki yang bertolak ansur ketika menjual, ketika membeli dan ketika menuntut iaitu menuntut hutang.”
(Riwayat al Bukhari 1970)

Firman Allah di dalam surah asy-Syura’ ayat 181:

“Sempurnakanlah sukatan dan janganlah kamu merugikan orang lain.”

Dan seterusnya dalam surah yang sama iaitu Surah Asy Syura’ ayat 182 bermaksud:

“Dan timbanglah dengan timbangan yang benar.”

Kemudian ditegaskan lagi dalam ayat yang seterusnya.

“Dan janganlah kamu merugikan manusia dengan mengurangi hak-haknya dan janganlah membuat kerosakan di bumi.”
(Asy-Syura’: 182)

Sejujurnya kita mampu untuk membina jaringan yang hebat dalam rangkaian ekonomi dan seterusnya dapat menguasai ekonomi negara pada masa hadapan.

Memulakan langkah yang tepat adalah kunci kejayaan seperti tertib dalam rukun. Yang perlu diutamakan perlu diutamakan, yang perlu didahului perlu didahulukan supaya tidak membazir masa, wang dan tenaga akibat kerja tidak berfokus dan bermatlamat.

Pusat Pengumpulan Produk

Peringkat pertama adalah mewujudkan pusat mengumpul produk Muslim dan Halal yang diketahui oleh seluruh ahli PAS di setiap kawasan dalam negeri dan pusat.

Diakui agak sukar, namun kita harus yakin untuk melaksanakannya walaupun tidak semua kawasan mampu tetapi menjadi satu kejayaan yang boleh dibanggakan sekiranya setiap negeri dapat membuka lima kedai sebagai permulaan awal.

Prospek peruncitan ini mempunyai peluang yang cerah untuk dikembangkan berdasarkan peningkatan dalam permohonan baru pemborongan dan runcit dalam tahun 2018. Di mana sebanyak 7,000 permohonan baru bagi tahun 2018 dilaporkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara LHDN.

Malah nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM106.5 billion bagi tahun 2018 seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Negara JPN. Ini mengambarkan jumlah yang signifikan kepada ekonomi negara.

Menghasilkan produk sendiri

Seterusnya barulah bergerak untuk menghasilkan produk keluaran sendiri berdasarkan beberapa produk yang mendapat permintaan yang tinggi dari pengguna di setiap pusat jualan yang dibuka.

Pengeluaran sesuatu produk secara tidak langsung akan merangsang peningkatan terhadap industri kecil sederhana IKS negara.

Seperti mana yang kita maklum bahawa sektor IKS adalah penyumbang secara langsung kepada Kadar Dalam Negara Kasar KDNK. Iaitu sebanyak 38 peratus dicatatkan bagi tahun 2018.

Ianya menjadi penanda aras ke arah menuju status negara maju seperti negara-negara Eropah yang mencatat kadar KDNK tahunan sebanyak 50 peratus.

Penerangan dan Kursus

Pada masa yang sama, penerangan perlu bergerak untuk memberikan kesedaran ini melalui prospek ekonomi dan kewangan serta perakaunan yang menjadi teras pengetahuan untuk menggerakkan usaha murni ini.

Kursus-kursus asas seperti peruncitan, pengurusan dan perakaunan boleh dilakukan di peringkat negeri atau pusat.

Halangan dikenalpasti dan diatasi

Modal adalah faktor utama sering menjadi alasan utama untuk tidak menjayakan usaha ini. Memang diakui kos untuk membuka sebuah kedai runcit yang lengkap adalah tinggi sehingga mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

Namun untuk peringkat permulaan boleh dimulakan secara kecil-kecilan dahulu seperti menggunakan aset yang telah menjadi milik PAS iaitu PASTI, SRITI dan Markas-markas PAS.

Peringkat permulaan menumpang satu sudut diruangan premis PAS. Contohnya PASTI mempunyai ribuan Cawangan di seluruh Malaysia.

Setelah masalah premis dapat diselesaikan, sejumlah modal diperlukan untuk membeli produk-produk Muslim dan halal untuk dipenuhkan di rak-rak kedai.

Untuk mengatasi masalah ini ada beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan. Pertama: mencari barangan secara consignment iaitu pengeluar meletakkan barangnya di kedai dahulu dan kosnya dibayar kepada pengeluar apabila barang tersebut telah dijual.

Kemudian menggalakkan ahli-ahli PAS serta masyarakat setempat untuk menghasilkan barang sendiri atau meletakkan barang di kedai selain sumbangan dari ahli untuk modal permulaan bagi membeli produk.

Sentimen Halal dan harga

Sentimen status Halal dan harga memainkan faktor utama dalam sektor barangan pengguna. Oleh itu perancangan berskala besar seperti rangkaian dari Cawangan ke Kawasan mampu untuk menjadi penentu dalam kawalan harga untuk pasaran domestik negara.

Teori ekonomi supply and demand boleh menentukan kadar harga sesuatu barangan sekiranya dibeli dalam jumlah kuantiti yang banyak bagi membolehkan mendapat harga yang lebih murah.

Begitu juga dengan produk Halal di mana statusnya dan keasliannya mampu dipelihara kerana kita boleh memilih pengeluar yang diyakini sahaja sebagai pembekal kepada permintaan dari pengguna di seluruh Cawangan atau Kawasan.

Bila kita mempunyai ‘bargaining power’ iaitu kuasa membeli yang tinggi sudah tentu akan menarik minat pasaraya besar untuk menjalinkan kerjasama.

Pasaraya Muslim seperti Maydeen dan Sabasun antaranya boleh dijadikan rakan niaga sebagai pembeli besar.

Medan dakwah

Menyedari PAS adalah sebuah parti tarbiyah, dakwah dan siasah maka usaha sebegini merupakan salah satu dari cabang dakwah yang diperjuangkan oleh PAS dari dahulu sehingga kini.

Dakwah yang terbaik ialah bila kita mampu membuktikan setiap perkataan dengan amalan dan tindakan.

PAS bukan sahaja bercakap tentang kebaikan ekonomi Islam malah PAS mampu merialisasikan serta melaksanakannya dengan terjun ke lapangan seperti PASTI dan SRITI dalam dunia pendidikan.

Ruang bertemu dan menyampaikan mesej Islam lebih terbuka luas bilamana setiap pelanggan yang datang kita anggap sebagai mad’u dan sasaran dakwah Kita.

Sejarah menjadi saksi peng-Islaman seluruh tanah Melayu adalah melalui dakwah saudagar Arab berniaga dan berjual beli dengan penduduk tanah Melayu.

Kebaikan kepada Ummah dan Negara

Mampu menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada masyarakat bukan sahaja kepada ahli PAS dan secara tidak langsung menghasilkan tenaga sumber kepada PAS.

Di mana menurut laporan Nielsen’s Global Consumer Confidence 2017 menyatakan bilangan pekerja di dalam sektor ini sebanyak 1.7 juta orang.

Sudah tentu ianya dapat merancakkan lagi ekonomi negara dengan PAS membawa imejnya yang tersendiri “Islamic Appearance and Approach”mewarnai pasaran pengguna.

Memberi jaminan bawah PAS mampu menjadi sebuah kerajaan kerana rakyat mempunyai mentaliti memilih kerajaan kepada parti yang mampu menggerakkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Isu perkauman

Secara tidak langsung ianya akan beransur-ansur mengurangkan masalah perkauman seperti isu produk Muslim ditipu status Halalnya kerana peluang berlakunya masalah penipuan dapat dibendung dengan lahirnya ramai pengusaha Muslim.

AWIS KHARNI HUSAIN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Lumut – HARAKAHDAILY 22/8/2019

IMG 20190822 WA0008

IMG 20190822 WA0007

20190822 111608

20190822 111549

- Advertisement -