Semarakkan kenegaraan

- Advertisement -

SUKAN merupakan alat perpaduan terbaik untuk rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur bahkan kaum dan agama. Terbukti semangat kesukanan telah mempertaut eratkan masyarakat yang berbeza latar belakang di negara ini. Sewajarnya, kerajaan selaku pemerintah menjadikan sukan sebagai wadah yang diperluaskan untuk tujuan tersebut.

- Advertisement -

Malangnya, sukan di negara ini masih eksklusif dan tidak dimanfaat sebaiknya untuk dibudayakan sebagai kegiatan sihat serta menyampaikan pelbagai tujuan kenegaraan. Lebih teruk apabila ia dipolitikkan atau dijadikan kesempatan pihak bermentaliti kapitalis. Terbaru melalui sukan, bahasa sebagai alat komunikasi warga pula ‘dilucutkan’.

Tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukar sambutan Hari Sukan Negara kepada nama Inggeris baru iaitu Malaysia Sports Challenge tidak langsung memberi perubahan yang sewajarnya dilakukan. Semata-mata nama asing, dilihat ia tidak lebih KBS sebagai kontang idea, kebudak-budakan, pembaziran dan mainan politik.

Malah, semangat nasionalisme dan patriotisme juga bagaikan tidak perlu lagi, sedangkan sukan adalah wahana terbaik menerapkannya. Jangan nanti KBS memberi alasan pra-matang dan populis kononnya untuk menarik penyertaan antarabangsa. Sewajarnya sukan menjadi ‘ubat’ ketika rakyat Malaysia ditimpa kemelut agama dan perkauman kini.

Usahakan untuk menggiatkan penganjuran kegiatan sukan hingga ke akar umbi rakyat yakni kepada warga desa dan komuniti perumahan, selain memastikan sukan juga mesra semua peringkat umur dan bangsa. Apatah lagi, KBS diterajui Menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang muda dan boleh menjadi contoh mewakili hasrat anak muda masa depan.

Kita adalah pembina dan pencorak fururistik yang mahukan Malaysia sebagai negara lebih baik dalam segala segi di masa depan. Oleh itu jangan gadaikan ia dengan segala yang menghilangkan kepercayaan warga dengan menggadai nilai-nilai di masa ini. Belum terlambat untuk merubahnya, kembalikan semula Bahasa Kebangsaan kita.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 22/8/2019

- Advertisement -