Khat Jawi: Kerajaan mesti ambil serius provokasi

- Advertisement -
TIBA masanya Kerajaan seharusnya bertegas dalam menyelesaikan isu pengenalan tulisan jawi. Ini kerana, saya yakin dan percaya bahawa tindakan sesetengah pihak menggantung kain rentang sebagai bantahan pengenalan tulisan jawi akibat daripada ke‘lembutan’ Kerajaan selama ini.
 
Apa yang amat membimbangkan, kain rentang yang tertera perkataan “Kami dari pihak PIBG tidak menyokong dan tidak akan mengajar” tidak sepatutnya dipamerkan. Ini kerana Kerajaaan telah mengumumkan bahawa  ia tidak akan dilaksanakan tanpa persetujuan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru, ibu bapa dan murid. Oleh itu, tindakan tersebut hanyalah membawa kepada perpecahan serta kebencian antara kaum semata-mata.
 
Walau bagaimanapun, jelas sekali sikap keterbukaan yang melampau menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan terus-menerus membantah. Oleh sebab itu, Kerajaan sewajarnya bertegas dengan keputusan yang dibuat dan tidak terlalu mengikut kehendak golongan ini sehinggakan matlamat dan objektif asal tersasar.  
 
Pada peringkat awal, Kerajaan menyatakan rancangan memperkenalkan seni khat dan jawi sebagai usaha mengekalkan seni warisan tersebut kepada semua kaum bermula dari sekolah rendah, namun setelah mendapat bantahan, Kerajaan hanya meneruskan apa yang sudah sedia ada sejak 2015 iaitu pengenalan tulisan jawi.
 
Lebih menyedihkan, Kerajaan juga mengambil keputusan mengurangkan jumlah halaman daripada 6 muka surat kepada 3 muka surat setelah mendapat bantahan. Jelas sekali ia mengecilkan kepentingan tulisan jawi itu sendiri.
 
Justeru, sebarang provokasi sesetengah pihak sewajarnya tidak berlaku dan tindakan tegas seharusnya dikenakan agar mentaliti pelajar sekolah berkenaan tidak dididik ke arah permusuhan dan kebencian yang sekaligus dapat membawa kepada perpecahan kaum.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 21/8/2019
- Advertisement -