KUANTAN: PAS Kawasan Temerloh telah mengadakan kunjungan hormat menemui Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di pejabat beliau di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.
Delegasi PAS Temerloh ini diketuai Timbalan Yang DiPertua, Hasanudin Salim dan Ketua Penerangan, Ustaz Fairus Hisham Nordin serta Ketua Muslimat, Ustazah Alwiah Kasdan.
Kehadiran wakil PAS ini bertujuan memanjangkan jemputan ke program Hari Saiyidatina Khadijah yang dirancang diadakan di Dewan Tun Razak pada 3 hingga 5 Oktober depan.
Ianya merupakan antara program mega PAS Temerloh yang juga bertujuan mencapai dan mengukuhkan agenda perpaduan ummah dalam kalangan warga penduduk termasuk rakyat negeri ini.
Delegasi juga berkesempatan bersua muka dan berkenalan mesra dengan Ahli Exco Kerajaan Negeri BN serta Ahli Yang Berhormat PAS yang kebetulan menghadiri Sidang Dun. – HARAKAHDAILY 20/8/2019