Adakan kajian masyarakat majmuk di sekolah

- Advertisement -

PERPADUAN kaum berbilang bangsa merupakan teras penting penyatuan rakyat dalam sesebuah negara. Malaysia tidak terlepas daripada kemajmukan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai keturunan termasuklah etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

Perpaduan kaum hadir apabila rakyat mengerti sosio-budaya sesuatu kaum, pantang larang, adat setempat, amalan keagamaan dan saling hormat menghormati hak di antara satu sama lain. Inilah kefahaman yang perlu dibentuk dan dihayati oleh setiap lapisan rakyat.

Sekiranya mana-mana satu bahagian dicerobohi, maka rakyat akan berhadapan dengan situasi yang tidak terlintas atau tergambar pada akal insan seperti pertelingkahan, ketegangan, akhirnya rusuhan kaum yang membawa kemusnahan sesebuah negara.

Perkara pokok yang memerlukan perhatian semua pihak adalah tentang kependidikan perpaduan berbilang kaum, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pemupukan nilai-nilai toleransi kaum, kerjasama membina negara serta memelihara jati diri berteraskan semangat kasih sayang merupakan unsur-unsur yang mesti diserap sama menerusi silibus mata pelajaran yang diajar di sekolah atau melalui garapan rentas  mata pelajaran-mata pelajaran sedia ada serta ekstra kurikulum.

Hari ini, Kementerian Pendidikan lebih menumpukan soal pembangunan fizikal, prasarana dan logistik sekolah, pencapaian akademik melalui angka peratusan gred A dalam sesuatu peperiksaan atau penilaian,  sedangkan apa yang lebih penting adalah penghayatan semangat ilmu yang perlu diutamakan.

Sebagai contoh, murid-murid belajar bab perpaduan kaum atau diselitkan gambar-gambar lukisan mewakili kaum-kaum tertentu dalam tajuk pengajian. Namun, apakah murid-murid berkenaan dapat memahami dan menghayati tinggal hidup bersama sekampung atau setaman secara realiti? Atau, apakah mereka dapat bermain secara bersama walaupun berbeza bahasa dan keturunan seperti siri animasi Upin dan Ipin bersama rakan-rakan?

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan digesa supaya membuat suatu kajian lapangan mengenai tahap penghayatan hidup bermasyarakat majmuk di kalangan murid-murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di semua sekolah, sama ada di sekolah kerajaan dan swasta supaya satu input baru mengenai perpaduan kaum dikalangan rakyat dapat dianalisa, seterusnya mencadangkan jalan-jalan bagi mengeratkan perpaduan kaum.

Hasil kajian berkenaan juga dikongsi menerusi laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 pada tahun hadapan.

Justeru, Kementerian Pendidikan hendaklah mengambil tindakan proaktif dan konsisten bagi mendidik generasi akan datang hidup dalam aman sejahtera kerana keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk terbentuk dari acuan pendidikan yang disediakan. Perkasakan falsafah pengajian sejarah supaya murid-murid sekolah dapat membina jati diri rakyat sejahtera dan semangat patriotisme yang mendalam di kalangan mereka.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Pendidikan PAS Pusat  – HARAKAHDAILY 20/8/2019

- Advertisement -