Me’wahabi’kan DZN: Setakat itu saja juang kita?

- Advertisement -

PENDAHULUAN

- Advertisement -

Dr Zakir Naik (DZN) – tokoh pendakwah antarabangsa yang sedang berdepan dengan gesaan ‘balik ke India’ oleh Lim Kit Siang, beberapa Menteri daripada DAP dan bukan DAP, beberapa NGO bukan Islam dan sebilangan pemimpin parti politik di Malaysia –  akhirnya berdepan dengan cabaran lebih getir.

Iaitu gesaan segelintir ulamak Islam di Malaysia yang tidak mahu beliau diberikan ‘tauliah’ berceramah di negara ini. Bahkan mereka juga menyokong gesaan angkatan Ahzab, yang dipimpin oleh Lim Kit Siang dan DAP, yang mahukan Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India.

Pertimbangan golongan ini

Tentulah atas sebab yang berbeza berbanding sebab yang dikemukakan oleh angkatan Ahzab, iaitu Dr Zakir adalah Wahabi.

Pada mereka, ajaran Wahabi pula adalah sesat dan perlu dibendung daripada menular di negara ini. Fahaman Wahabi Dr Zakir hanya akan menimbulkan huru-hara dan keresahan di kalangan masyarakat Islam di negara kita yang majoritinya bermazhab Asy’ari.

Begitulah ringkasnya cara berfikir golongan ini bagi masalah yang kompleks, mendalam dan penting seperti ini. Mereka hanya sibuk mempertahankan diri dengan pegangan mazhab mereka secara sempit. Sehingga sanggup menganggap saudara Muslimnya yang dituduh sebagai Wahabi adalah lebih berbahaya daripada golongan kuffar yang sedang menunjukkan sikapnya yang memusuhi Islam.

Akibat

Jika gesaan mereka berjaya, Dr Zakir Naik akan dihalang daripada berceramah dan berdakwah di Malaysia. Ada kemungkinan taraf penduduk tetapnya akan ditarik balik. Ada kemungkinan beliau akan diusir daripada Malaysia.

Angkatan Ahzab sedia mempunyai kekuatan pengaruh dan ‘kabel-kabel utama’ dalam Kerajaan. Mereka hanya perlukan sokongan segelintir orang Islam untuk meningkatkan merit kepada gesaan mereka. Tiba-tiba ada sekelompok orang Islam yang ‘secara sukarela’ menyokong agenda mereka. Kelompok itu pula adalah dianggap golongan ilmuan dalam komuniti ummat Islam.

Satu kemenangan awal yang terlalu manis untuk Lim Kit Siang dan angkatan Ahzabnya, hasil daripada jaringan ‘gol sendiri’ pasukan lawan.

Kenapa DZN disasarkan secara eksklusif oleh angkatan Ahzab Malaysia?

Serangan kepada Dr Zakir Naik bukanlah dibuat secara spontan tanpa perancangan teliti oleh Angkatan Ahzab. Dr Zakir juga bukanlah sasaran yang dipilih secara rawak. Beliau dipilih secara khusus.

Sebabnya;

Beliau adalah tokoh yang telah terbukti mampu berdialog mewakili Islam dengan cemerlang di pentas antarabangsa. Hujah-hujah beliau tidak mampu dipatahkan oleh lawannya, dan beliau pula berjaya mematahkan hujah-hujah lawannya secara berfakta dan menarik.

Walaupun ada tokoh-tokoh tempatan yang mempunyai kewibawaan berhujah seperti beliau, namun kewujudan tokoh antarabangsa seperti beliau di Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri kepada penganut-penganut agama lain, terutamanya yang bukan berbangsa Melayu untuk mendapatkan penjelasan mengenai Islam secara langsung daripada beliau.

Beliau menjawab prasangka buruk terhadap Islam yang sengaja diada-adakan oleh musuh-musuh Islam pada era moden dan pasca moden. Persoalan mengenai aurat, wanita bertudung, hukum-hukum jenayah dalam Islam, poligami, hukum berkaitan pusaka dan lain-lain dijawab oleh beliau menggunakan hujah-hujah logik dan fakta perbandingan agama.

Di Malaysia pula, ada pelbagai pihak yang cuba memburukkan wajah Islam agar dilihat mundur, kolot, tidak moden, tidak sesuai untuk diamalkan pada masa kini dan sebagainya. Kewujudan Dr Zakir di sini merobohkan usaha puluhan tahun golongan ini agar Islam terus disangka buruk oleh bukan Islam di negara ini. Dr Zakir berjaya menunjukkan kecantikan Islam kepada bukan Islam di sebalik prasangka buruk dimomokkan kepada mereka terhadap Islam.

Beliau mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap agama-agama selain Islam dan kitab-kitab suci yang menjadi pegangan mereka. Oleh itu, sukar untuk pihak lain menggunakan hujah ‘awak tidak memahami agama saya’. Ini menambahkan kewibawaan beliau dalam berhujah.

Kemahiran perbandingan agama seperti ini masih baru di Malaysia. Usaha dakwah di Malaysia lebih tertumpu kepada dakwah islahiyyah, iaitu berdakwah dalam lingkungan masyarakat Islam sendiri agar memahami ajaran Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Berdakwah kepada bukan Islam untuk melihat kecantikan Islam pula hanya diambil cakna oleh segelintir golongan sahaja. Antara puncanya, kurang memahami ajaran dan sejarah agama bangsa lain.

Kedatangan Dr Zakir Naik telah menjadi pemangkin kepada usah-usaha ini. Ramai yang tidak beragama dan yang berminat untuk memahami perbezaan dan persamaan agama mereka dengan Islam mula mahu ‘mendengar’ mengenai Islam.

Beliau menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium ucapannya. Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, namun ramai bukan Melayu yang menganggap bahasa Inggeris adalah lebih utama daripada bahasa Melayu. Kemahiran berbahasa Inggeris dilihat sebagai tanda memiliki tahap pendidikan yang lebih tinggi. Oleh itu, ceramah-ceramah agama yang diadakan dalam bahasa Melayu kurang diminati oleh golongan bukan Islam di Malaysia.

Dr Zakir Naik berjaya menarik minat golongan bukan Islam di Malaysia untuk dialog peradaban ini kerana bahasa perantara yang digunakan adalah bahasa Inggeris. Ini juga adalah satu lonjakan bagi gerakan dakwah di negara kita.

Dr Zakir Naik adalah legasi Madrasah Syeikh Ahmad Deedat yang tersohor. Madrasah ini berjaya melahirkan ribuan pendakwah yang mahir mempertahankan Islam dalam debat perbandingan agama. Mereka mendahulukan dakwah daripada berdebat. Tetapi jika debat diperlukan, mereka telah dilatih dengannya.

Kebimbangan angkatan Ahzab ialah akan lahir ribuan pendakwah bukan Melayu yang mampu berhujah untuk Islam dengan baik, beradab dan berfakta tanpa menimbulkan ketegangan, prasangka dan kebencian.

Kerana itulah, Dr Zakir Naik menjadi ‘target’.

Mazhab ‘Wahabi’

Tentulah artikel ini bukanlah medan untuk membicarakan mengenai mazhab ‘Wahabi’. Istilah ‘Wahabi’ itu sendiri pun banyak perbahasannya. Saya akan tuliskan seperenggan di sini. Tetapi perenggan mengenai ‘Wahabi’ ini akan diperselisihkan oleh ramai pihak pula. Tapi tak apalah, untuk tujuan memudahkan perbincangan.

Secara ringkasnya, ‘Wahabi’ ialah aliran yang timbul di Saudi setelah keluarga Soud mengambil tampuk kuasa, di mana banyak kecenderungan para ulamaknya dalam pegangan akidah kepada mazhab Salafi yang dipelopori oleh Imam Ibnu Taimiyyah, dan kecenderungan feqahnya kepada mazhab Hanbali.

Ringkasnya tuduhan kepada Dr Zakir sebagai ‘Wahabi’ kerana jawapan beliau yang lebih cenderung mengambil pendekatan salaf dalam memahami ayat-ayat mutasyabihaat. Iaitu beriman kepada ayat tanpa menentukan maksud lafaz secara pasti. Ia bertentangan dengan pendekatan khalaf yang beriman kepada ayat dengan menentukan maksud lafaz mengikut kaedah ‘takwil’ yang sahih di dalam bahasa Arab.

Jika seseorang berkata, Allah S.W.T ada tangan seperti tangan makhluk. Jelas kekufurannya.

Jika seseorang  berkata, Allah S.W.T menyebut ada tangan dalam beberapa ayat al-Quran, saya beriman dengan ayat itu dan saya serahkan maksudnya kepada Allah dan tidak mahu berbahas mengenainya, tetapi ia pastilah bukan tangan seperti makhluk. Itulah iktikad mazhab Salafi.

Jika seseorang  berkata, Allah S.W.T menyebut ada tangan dalam beberapa ayat al-Quran, saya beriman dengan ayat itu dan yang dimaksudkan dengan tangan itu bukankah tangan mengikut penggunaan zahir bahasa, tetapi ia adalah bahasa kiasan kepada ‘kuasa Allah’. Itulah iktikad mazhab khalaf, termasuk Asya’irah.

Masalah ini adalah masalah khilafiyyah dalam ilmu akidah. Titik sepakatnya ialah Allah S.W.T itu tidak menyerupai makhluk. Jika iktikadbahawa ayat mutasyaabihaat itu menyifatkan Allah S.W.T menyerupai makhluk, maka itu adalah iktikad yang kufur secara sepakat.

Pendapat Dr Zakir Naik dalam perkara ini mewakili satu daripadanya, iaitu pendapat mazhab Salafi.

Untuk menjadi ahli perbahasan ini, anda perlu tahu berbahasa Arab, perlu tahu ayat-ayat dan hadis-hadis mutasyabihaat, perlu tahu maksud takwil, perlu tahu takwil yang boleh diterima dan takwil yang tidak boleh diterima, perlu tahu ayat-ayat yang sepakat di takwil oleh semua ulamak. Dan anda juga perlu tahu sejarah perkembangan ilmu akidah.

Kita serahkan perbahasan terperinci mengenai perkara ini kepada ahli-ahlinya. Pegangan salaf atau khalaf mengenai perkara ini tidak memudaratkan kepada bukan ahlinya.

Ia adalah satu ilmu yang spesifik, yang hanya mampu dibahaskan oleh ahli-ahlinya. Dan ia tidak menjadi perdebatan yang memudaratkan di institusi-institusi pengajian tinggi Islam, bahkan dibahaskan dengan harmoni dan hormat menghormati.

*Peranan Asyairah dalam sejarah Islam*

Dalam sejarah Islam, golongan Asya’irah (bermazhab Asy’ari dalam pegangan akidah) terkenal dengan usaha dakwah mereka kepada bukan Islam. Selain daripada berpegang teguh kepada nas daripada al-Quran dan as-Sunnah, mereka juga menggunakan logik akal dalam menerangkan akidah Islam.

Hasilnya, ramai bangsa bukan Arab yang masuk Islam secara sukarela. Walaupun asalnya mereka beragama lain. Ulamak-ulamak Asya’irah telah berjaya membentangkan akidah Islam kepada mereka secara mudah, tuntas dan logik.

Ulamak-ulamak Asya’irah juga adalah pakar dalam perbandingan agama. Mereka adalah juara dalam medan perdebatan akidah Islam dan bukan Islam secara akademik. Sebarang kekeliruan dan salah faham terhadap akidah Islam dijawab oleh mereka dengan penuh berwibawa.

Kerana itulah, Islam mudah tersebar di seluruh dunia. Rantau Melayu sangat terhutang budi kepada para ulamak Asya’irah yang membawa Islam ke rantau ini. Akidah mereka kepada Islam tetap teguh walaupun beratus tahun hidup dalam penjajahan bangsa asing yang beragama kristian.

Malangnya pada hari ini, gerakan dakwah kepada bukan Islam tidak lagi menjadi keutamaan. Perdebatan dalaman yang tajam antara mazhab lebih diminati daripada menarik golongan bukan Islam kepada agama Islam.

Penutup

Begitulah cabaran yang telah dialami dan akan terus dialami oleh para pendakwah dan pejuang Islam. Jika mereka terdiri daripada ahli dan pakar dalam bidang tersebut, mereka akan lebih dimusuhi. Demikian juga, jika mereka lebih berkebolehan dalam memimpin dan mempunyai pengaruh dalam masyarakat, mereka akan lebih teruk dimusuhi dan disakiti. Pemimpin Islam yang mempunyai pandangan politik yang jauh pula akan berhadapan serangan pelbagai rupa dan bentuk.

Itulah sunnatulLaah dalam perjuangan Islam.

Sedikit saja kesilapan mereka, akan dibesarkan sehingga gegak gempita seluruh dunia. Kita akan diberi isyarat oleh musuh-musuh Islam untuk menukarkan mereka kepada orang yang dilihat lebih berwibawa, lebih mudah berunding, lebih logik dan lebih memahami suasana. Walhal musuh mahu kita dipimpin oleh ulamak dan pemimpin yang lebih lemah.

Janganlah kita, secara tanpa sedar, tiba-tiba menjadi musuh pula kepada mereka.

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 19 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 19/8/2019

- Advertisement -