‘Kita akan pertahankan Islam dari dibuli’

- Advertisement -

KANGAR: Tindakan menghalang Dr Zakir Naik untuk menyampaikan pidato dakwahnya di Perlis amat mengecewakan umat Islam seluruhnya.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata namun beliau menghormati keputusan pihak polis membatalkan ceramah Dr Zakir Naik disebabkan desakan oleh pihak tertentu bagi mengelakkan ketegangan kaum.

“Kita dapat melihat, bagaimana bangsa DAP menjadi punca kepada ketegangan ini dan perkara ini menyerlahkan keakuran kepimpinan Islam dalam PH kepada desakan tersebut.

“Walau bagaimanapun PAS akan menjadi benteng kepada Islam dalam apa jua keadaan pun dan berharap tindakan tegas dan adil juga harus diambil terhadap kenyataan mana-mana individu yang bersifat perkauman, penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, kes kematian Adib, dan sindiran kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“PAS Perlis bersedia memimpin penyatuan ummah di kalangan parti-parti politik dan NGO untuk mempertahankan pendakwah terkenal dari negara India tersebut.

“PAS Perlis menyeru seluruh umat Islam merapatkan saf demi kedaulatan Islam dan kita akan mempertahankan Islam dari dibuli di Malaysia memandangkan fenomena Islam dibuli semakin rancak di Malaysia,” tegasnya lagi dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, pihak polis menasihati penganjur program Malaysia Reverts Camp yang berlangsung selama tiga hari iaitu pada 16 sehingga 18 Ogos lalu membatalkan slot Dr Zakir bersama anaknya di atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata saranan itu bertujuan bagi meredakan keadaan semasa yang dilihat semakin tegang berikutan dari kenyataan penceramah itu yang disalah erti oleh pihak tertentu.

Sungguhpun begitu, pihak polis tiada halangan untuk membenarkan Dr Zakir Naik untuk memasuki negeri ini dan menghadiri program berkenaan malah program itu juga dibenar untuk diteruskan seperti yang dirancang. – HARAKAHDAILY 19/8/2019

- Advertisement -