Usir Zakir Naik: PKR Sabah jangan cepat melatah

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Negeri Sabah (DUPNS) mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua yang mahu mengusir pendakwah bebas Dr Zakir Naik dari negara ini. DUPNS  mengingatkan PKR Sabah supaya jangan cepat melatah dan bertindak mengikut emosi.

- Advertisement -

Pengusiran individu hendaklah dilakukan mengikut lunas undang-undang dan bukan sekadar emosi semata-mata. Bahkan jawapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat menyatakan bahawa Dr Zakir masuk ke Malaysia mengikut prosedur biasa dan mematuhi undang-undang negara.

DUPNS berpandangan, tiada sebab munasabah untuk mengusir Dr Zakir dari negara ini. Dr Zakir belum disabitkan sebarang kesalahan di negara ini malah semua pertuduhan belum lagi dibuktikan di luar negara. Mengambil contoh individu yang cuba membawa Sabah keluar dari Malaysia. Ini secara terang-terangan melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Mereka ini yang sewajarnya dihalau jika PKR Sabah mahu mengusir individu yang melanggar undang-undang negara.

Sikap prejudis dan berat sebelah PKR Sabah didorong oleh sikap rasis dan kebencian terhadap personaliti Dr Zakir. Beliau berhujah berdasarkan ilmu di pentas terbuka mengenai perbandingan agama. Beliau tidak pernah memaksa masyarakat bukan Islam untuk memeluk Islam dan menghina anutan mereka. 

DUPNS juga ingin mengetahui apa pendirian orang Islam yang berada di dalam PKR Sabah? Adakah sama seperti kenyataan Kenny Chua? DUPNS sentiasa konsisten dalam memperjuangkan keadilan yang diajar oleh Islam tanpa mengira sempadan agama dan bangsa. DUPNS juga mengulangi penegasan oleh Presiden PAS bahawa “jangan merempuh apabila lampu merah menyala, kerana hak persaudaraan Islam itu mengatasi warganegara dan merentasi sempadan negara dan bangsa. Inilah hakikatnya, bukannya menghasut.”

“Ulamak Memimpin Penyelesaian Islam”

USTAZ BABBAR ABAS
Ketua
Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah – HARAKAHDAILY 17/8/2019

- Advertisement -