Lucut kerakyatan, usir Yew Yin – KERABAT Perak

- Advertisement -

LUMUT: Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (KERABAT) Negeri Perak bersama KERABAT Kawasan Lumut telah mengadakan laporan polis ke atas ahli perniagaan, Koon Yew Yin di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Seri Manjung, di sini pagi tadi.

- Advertisement -

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh Setiausaha KERABAT Perak, Mohd Yamin Matt Saman dengan seramai 50 ahli KERABAT telah hadir memberi solidiriti bagi menuntut tindakan undang-undang diambil terhadap Yew Yin yang telah menghina anggota tentera.

Pengerusi KERABAT Perak, Hamidun Ahmad ketika mengetuai laporan Polis ini menggesa agar Yew Yin diambil tindakan undang-undang kerana berani menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agar kerakyatannya dilucutkan dengan segera.

Desaknya, hartawan angkuh itu mesti dihalau keluar dari Malaysia kerana kebiadabannya terhadap ATM dan juga Yang di-Pertuan Agong, supaya selepas ini nanti kenyataan seumpama tidak lagi berulang demi perpaduan dan keharmonian.

Ini kerana alasan Yew Yin mengkritik ATM kerana dia membayar cukai amatlah tidak boleh diterima, sedangkan tuntutan berkenaan adalah kewajipan semua rakyat Malaysia sebagai balasan menikmati segala kemudahan di dalam sesebuah negara.

Turut sama hadir sama Pengerusi KERABAT Kawasan Lumut, Zainol Abidin Jusuh serta Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Lumut, Rasli Abd Rahman Zainal Abidin Saad serta Ahli Jawatankuasa PAS Lumut yang lain. – HARAKAHDAILY 17/8/2019

- Advertisement -