Ronin

- Advertisement -

SAYA ingin membawakan sahabat-sahabat semua kepada satu isu yang mungkin jarang diperhatikan orang, tetapi sentiasa menjadi duri tajam kepada semua yang berjuang bagi mempertahankan jemaah Islam. Secara khususnya, saya namakan jemaah PAS. Ia menyakitkan hati kita jika bertemu dengan isu yang akan saya sebutkan ini. Mungkin tulisan ini menjadi kepada solusi masalah ini.

- Advertisement -

Dan mungkin juga menjadi punca kemarahan ‘mereka-mereka’ yang terasa pedas dengan isi kandungan tulisan ini. Tidak mengapa, saya menulis sebagai jalan juang saya, memberikan sedikit sumbangan kepada jemaah ini. Saya juga berharap, ia membantu membuka pintu-pintu atau idea-idea yang mungkin jarang diterokai oleh penulis lain. Jadi, kepelbagaian dalam memberikan pendapat, bagi saya ianya sebagai rempah ratus jalan orang berjuang. Risikonya, tanggung sendiri.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, jalan perjuangan ini akan dihiasi dengan pertembungan kita dengan syaitan yang menyesatkan, kafir mahu membunuh, nafsu yang melawan, munafik yang berpura-pura, dan juga mukmin yang berdengki kepada kita. Maksudnya, ia mempunyai lima serangan utama, luar dan dalam. Pastinya yang terbesar ialah daripada syaitan kerana ia adalah musuh kita yang nyata dan juga paling berpengalaman, sehinggakan ibu dan bapa kita, Adam dan Hawa kecundang, dikenakan mereka.

Kafir harbi pula, kita sudah maklum akan dendam mereka, jelas dilihat. Nafsu, ia perlu kepada kawalan dalaman kita sendiri. Tiada orang mengetahui apakah kelemahan kita yang sering dikalahkan nafsu, kecuali kita yang menunjukkannya kepada orang. Maka terselamatlah kita jika kita pandai menguruskan nafsu dengan cara yang benar. Tetapi dua musuh terakhir, agak sukar ditentukan dan dikenali untuk dikalahkan, munafik dan juga mukmin yang berdengki, mereka hampir sama.

Untuk mengendalikan kedua-dua musuh ini, kita memerlukan pemerhatian yang agak tajam, kerana pasti sahaja si pendengki itu akan berlakon, sama seperti munafik. Hanya sahaja munafik ini agak lebih terserlah ciri-ciri mereka dengan adanya tanda yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis-hadis baginda. Yang paling dikenali sifatnya ialah menipu, pecah amanah, mungkir janji dan bila berkelahi, melampaui batas. Ada juga dalam al-Quran dijelaskan perangai mereka menyeru kepada kemungkaran dan mencegah hal yang makruf.

Jadi jelas dan agak spesifik tanda-tanda munafik itu. Pun begitu, Saidina Umar sendiri terpaksa meminta pertolongan Abu Huzaifah bagi mengesan golongan munafik dalam saf kepimpinan beliau. Jika Umar yang dimuliakan Allah itu juga tidak mengenali munafik secara jelas, apa lagi kita yang lemah dan hina ini. Jadi berdiam diri adalah sikap yang baik apabila berhadapan dengan golongan ini, tidak perlu melabel mereka, tetapi pemantauan dan tanda-tanda mereka, mestilah terus diberi perhatian.

Mukmin yang berdengki, spesis ini sebenarnya ada ramai. Mereka juga menjalankan modus operandi yang hampir sama dengan munafik. Mereka terkadang masuk ke dalam jemaah-jemaah yang niat sebenar mereka hanyalah mahu menjahanamkan jemaah itu. Mereka merasakan bahawa merekalah yang terbaik, manakala yang lain jahil, tidak baik, lemah dan berbagai lagi tohmahan-tohmahan yang mereka lemparkan bagi membenarkan kerja-kerja kotor penyelinapan mereka itu.

Sebahagian mereka pula, duduk di luar, mengganggu kita dengan berbagai persoalan, bagi membantutkan langkah perjalanan dakwah kita yang sedang kita atur. Cuba membentes kaki kita dari belakang, menolak kita ke tepi dan tidak kurang berdiri di hadapan kita untuk memberhentikan kita. Mereka sering melemparkan hujah-hujah yang biasanya diulang-ulang bagi memahatkan dalam pemikiran kita. Mereka mahu kita adalah sebagaimana yang mereka gambarkan dan tuduh. Mereka tidak yakin dengan jemaah sendiri, sebab itu menumpang jemaah lain.

Mereka bergerak bagaikan mereka adalah ‘Ronin’. ‘Ronin’ berasal dari perkataan Jepun yang bermaksud samurai yang tiada bertuan. Mereka tiada pemimpin untuk mereka serahkan ketaatan mereka. Sebuah filem aksi Hollywood bertajuk Ronin, lakonan Robert De Niro, menjelaskan secara kiasan maksud ‘Ronin’ itu. Mereka berkejaran menurut arahan tuan yang membayar mereka. Siapa yang membayar lebih, maka tidak mustahil pengkhianatan akan berlaku dalam pasukan. Berbaloi menontonnya.

Apabila kita melayan mereka ini, mereka akan mula berperanan konon sebagai pengimbang kepada kesalahan kita. Bila ditanya dari jemaah manakah mereka, mereka akan mendakwa mereka bukan kepunyaan sesiapa. Jawaban yang berniat jahat, untuk bermain selamat. Mereka, dengan cara menjawab tiada kepunyaan mana-mana jemaah, mereka fikir bahawa mereka akan bebas berlindung di belakang sesiapa sahaja dan sekali gus, menyembunyikan jemaah sebenar mereka. Jika dilayan, boleh jadi gila kita.

Lantas apabila berhujah, mereka boleh menghina jemaah kita. Namun, kita tidak pula boleh membalas kepada jemaah mereka kerana mereka dakwa tidak dimiliki sesiapa. Sedangkan dalam Islam, kita mesti berjemaah kerana itu adalah kewajipan. Ketika bermusafir tiga orang, kita disuruh memilih ketua. Jadi, tiada istilah ‘Ronin’ dalam Islam. Namun kerana ada agenda mereka sendiri, mereka sanggup menipu, konon tiada jemaah. Pelik, melepaskan peluang untuk memperkenalkan jemaah mereka kepada dunia kerana mereka malu dengan jemaah mereka, walaupun ketua mereka mendakwa paling Islamik.

Jika ada isu terutama bab berkaitan politik, maka dengan gagah mereka menyusun ayat, membelasah PAS, tetapi dalam baris ayat lain, mereka menafikan meminati politik. Kotor, semuanya sama sahaja katanya. Namun, mereka bebas memberi kritikan kepada PAS sehingga tahap menghina. Pernahkah anda semua lalui pengalaman ini? Ianya sangat menyakitkan hati kita kerana dengki mereka itu kepada PAS, melampau-lampau. Mari kita kenali mereka dengan lebih dekat dan bagaimana mahu menghadapinya.

Mereka sebenarnya ada kumpulan atau gerakan yang mereka ikuti atau cenderung. Tetapi menyamar kerana berhasad dengan PAS. Sehingga pernah saya difahamkan mereka menggelarkan PAS sebagai anjing kepada Umno sekarang ini, hanya semata-mata PAS mahu berkerjasama dengan Umno, untuk menentang PH. Akan tetapi, kejahatan PH yang terang diketahui, tidak sangat mereka kritik. Kalau ada hanyalah beberapa perkataan yang mahu berselindung agar orang tidak perasan mereka berat sebelah.

Mereka juga akan mengatakan dengan cara perlahan PH pula anjing kepada DAP. Nampak seperti adil bukan? Kedua-dua pihak diibaratkan sebagai anjing. Namun, ia tidak sebegitu. Serangan sebenarnya ialah kepada PAS. Apa jawapan kita kepada golongan yang ini? Anda tentunya tidak mahu berdiam diri kerana mereka sedap menghina kita, paling kurang kita juga ada perasaan marah, apatah lagi yang disebut itu fitnah semata-mata. Kita akan berbahasa apabila orang berbudi. Gelaran anjing itu, akan kita selesaikan.

Baiklah. PAS bukan anjing kepada Umno, kerana tidak pernah PAS tunduk kepada Umno. Ia tiada bukti. Tetapi PAS ‘anjing’ kepada Allah atau boleh juga ‘anjing’ ashabul kahfi, dan PH ‘anjing’ kepada DAP. Sekurang-kurangnya kami masih bertuan. Oleh itu, ‘anjing-anjing’ ini duduk di dalam rumah tuannya, diberi makan sebagai tanggungjawab oleh tuannya dan dibelai. ‘Anjing-anjing’ ini kenal yang mana posmen atau polis dan juga pencuri atau perompak. Maka salakan mereka khas kepada penjahat sahaja.

Manakala kamu, yang tidak ada jemaah ini diibaratkan sebagai seekor anjing kurap di jalanan, tiada bertuan. Oleh kerana kamu anjing kurap jalanan, maka polis atau posmen, kamu salak, pencuri atau penyamun pun kamu salak kerana tidak kenal dan tiada garis panduan hidup. Kamu tiada tempat tinggal, mungkin tidur di longkang, makanmu pula dalam tong sampah, buangan manusia. Penyakitmu juga banyak, tiada siapa ambil peduli. Kamu pula dengan keadaan itu, dibenci masyarakat. Hidup menyusahkan orang.

Dalam al-Quran disebutkan hanya dua, hizbullah dan hizbussyaitan, tiada di tengah-tengah. PAS dengan penuh keyakinan mengaku kami adalahhizbullah, dengan segala kekuatan dan kelemahan yang PAS ada. Tetapi jika kamu yakin kamu adalah hizbullah, perlihatkanlah jemaahmu, kenapa takut? Adakah kamu fikir itu lebih baik dengan hidup tanpa prinsip? Jelas, kamu ialah anjing kurap tiada bertuan, bukan ‘Ronin’. Jadi, milik siapakah kamu? Tunjukkan jati dirimu.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
17 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 17/8/2019

- Advertisement -