Antara politik melampau dan terlampau

- Advertisement -

URUSAN berpolitik adalah sebahagian daripada tuntutan agama dan keperluan hidup bermasyarakat.

- Advertisement -

Disebut dengan istilah Khilafah, berpolitik menjadi salah satu tujuan manusia diciptakan di muka bumi ini, selain untuk beribadah dan melaksanakan segala perintah Allah Yang Maha Berkuasa.

Namun amanah yang berat ini sering dimanipulasi sekelompok ahli politik yang sanggup menggunakan pelbagai cara, demi mencapai matlamat yang diidamkan mereka (the end justifies the means).

Kita menyaksikan sekelompok ahli politik menjadi ‘makhluk perosak’ yang menghakis kerukunan hidup bermasyarakat majmuk.

Dibawanya fahaman politik perkauman yang sempit dan melampau (racist, chauvinist), dan disemai budaya prejudis dan perpecahan dalam masyarakat, sehingga boleh meruntuhkan perpaduan dalam negara.

Tidak cukup dengan sedikit kejayaan politik mereka, kini bersuara pula mahu menelan agama Islam dan Bahasa Kebangsaan yang menjadi akar tunjang negara ini, serta berterusan membuat tuntutan melampau demi sesuatu kaum sahaja, tanpa mempedulikan sensitiviti kaum lain yang banyak bertoleransi kepada mereka.

Kita juga menyaksikan sekelompok ahli politik menjadi ‘makhluk pengotor’ yang menghakis kesopanan hidup bermasyarakat madani.

Dibawanya fahaman politik matlamat menghalalkan cara, dan disemai budaya politik fitnah, kotor dan tidak bermoral (gutter politics), sehingga boleh meruntuhkan akhlak anak bangsa.

Tidak cukup dengan sedikit kejayaan politik mereka, kini berperang pula secara terbuka untuk menjatuhkan sesama mereka, serta berterusan membuat fitnah dan video terlampau yang jijik dipandang mata, tanpa mempedulikan batas dosa dan pahala yang diajar agama.

Terlebih malang apabila kita menyaksikan sekelompok ahli politik menjadi ‘makhluk pembisu’ yang melihat kemungkaran ini namun mendiamkannya, umpama tikus dalam kepuk padi atau semut dalam timbunan gula, sehingga menggadaikan prinsip kebenaran di sebalik alasan ‘kasih-sayang’ yang dicipta.

Di sebalik kemelut politik melampau dan terlampau ini, negara amat memerlukan sekelompok ahli politik yang membawa pendekatan Politik Pertengahan (Wasatiyyah) dengan penuh matang dan sejahtera, menjunjung prinsip agama dan menjaga perpaduan negara, supaya menjadi ‘garis tengah’ bagi membetulkan suasana.

Firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Al-Baqarah: 143)

Benarlah sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُ الأُمورِ أوساطُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik perkara itu ialah pertengahannya.” (Riwayat al-Baihaqi)HARAKAHDAILY 15/8/2019

- Advertisement -