PAS Hulu Langat ziarah keluarga arwah Syed Daniel

- Advertisement -

HULU LANGAT: PAS Kawasan Hulu Langat telah mengadakan ziarah kepada keluarga pemuda yang maut dalam insiden pukul di lebuh raya, Allahyarham Syed Muhammad Daniel Syed Syakir di Bandar Bukit Mahkota, di sini semalam.

- Advertisement -

Diketuai Yang DiPertua PAS Hulu Langat, Mohamad Jan Sulong bersama 12 wakil PAS Hulu Langat dan PAS Cawangan Bukit Mahkota hadir menzahirkan solidariti dan rakaman takziah atas kehilangan dihadapi keluarga itu.

Menerusi pertemuan itu, delegasi dapat mendengar sendiri kejadian dari bapa mertua arwah, Rozhan Ramlee berdasarkan laporan polis dan saksi kejadian yang difahamkan bermula dari Tol Sungai Besi dan mangsa dikejar hingga melepasi Tol Bangi.

Ianya dikatakan berpunca dari salah faham suspek yang menyangka almarhum menunjukkan isyarat lucah sedangkan tangan diangkat sebagai meminta maaf, apatah lagi melihat latar belakang pendidikan arwah tidak munasabah dia sedemikian.

Arwah sudah menghafaz al-Quran seawal usia 15 tahun, bahkan dikenali kenalannya tidak pernah berkelakuan dengan hal-hal aib yang dijustifikasi atau ditimbulkan salah faham terhadapnya dalam kes ini.

Semua pihak juga sukar menerima tindakan suspek yang didakwa melanggar dan menggilis arwah, malah setakat ini tuduhan kononnya arwah menumbuk suspek juga dibuktikan sebaliknya dari hasil bedah siasat.

Mohamad Jan berharap siasatan akan berjalan secara adil, telus dan penuh integriti setelah pula kes diklasifikasikan di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori.

“Kes ini menjadi pengajaran kepada semua pengguna jalan raya untuk tidak menggunakan kekerasan dan berlapang dada sesama kita. Sikap toleransi akan memastikan hubungan antara kaum terus terjalin,” ujarnya.

PAS Hulu Langat juga mengambil kesempatan untuk menegur pihak yang memainkan isu perkauman dalam isu ini, juga peringatan kepada DAP secara khusus perlu menghentikan kempen kebencian mereka kepada kaum lain.

Kata beliau, atas alasan kononnya inginkan kesaksamaan, sebaliknya terjadi adalah ketegangan antara kaum di mana terbesarnya ia adalah kesan daripada sikap tidak bertanggungjawab ahli-ahli politik berkenaan.

“Saya menyeru kita semua kembali kepada tatasusila budaya Timur kita dan sikap toleransi kaum yang kita amalkan sekian lama. Menjelang Hari Kemerdekaan Negara 31 Ogos ini, mari kita memerdekakan diri dan pemikiran kita daripada manipulasi oleh mereka yang chauvinis,” tambah beliau.

Ziarah Solidariti PAS Hulu Langat ini turut disertai oleh Ketua Muslimat, Zaiton Ahmad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Hulu Langat, Safarin Baharom serta lain-lain. – HARAKAHDAILY 15/8/2019

IMG 20190815 WA0004

IMG 20190815 WA0005

- Advertisement -