Pindaan Enakmen Jenayah Syariah disokong DUPNS

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah (DUPNS) menyambut baik keputusan DUN Sabah yang telah meluluskan RUU Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2019 dengan mengadakan takrif agama Islam dan takrif Ahli Sunnah Waljamaah.

- Advertisement -

Pinda itu juga memperkukuh sebatan sebagai salah satu penalti bagi ajaran apa-apa doktrin atau pelaksanaan upacara atau perbuatan berhubungan ajaran Islam yang berlawanan dengan Hukum Syarak atau fatwa yang sedang berkuatkuasa di Sabah.

Setakat tahun 2017, Majlis Fatwa Sabah telah mewartakan sebanyak 11 ajaran atau fahaman sesat termasuk tiga dimulakan dan diasaskan dari Sabah iaitu Ajaran Pertubuhan Rahmatan Lil ‘Alamin, Tariqah Hasaniah dan Ajaran Islam Jama’ah.

Tiga ajaran sesat turut tersenarai iaitu Millah Abraham @ Ibrahim, Hizbut Tahrir dan Syiah yang mempunyai fahaman melampau sehingga ke tahap sanggup melancarkan perang ke atas pemimpin dan kerajaan yang tidak sependapat atau selari ajaran mereka.

Ketua Ulamak PAS Sabah, Ustaz Babbar Abas berkata, pihaknya menyambut baik pindaan ini dan seharusnya disokong oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.

‘’Istilah Ahli Sunnah Waljamaah bukanlah nama sebuah parti politik atau mazhab yang diasaskan oleh ulama. Sebaliknya ia merupakan istilah yang berpunca daripada nas-nas syarak yang banyak. Bagi istilah al-Sunnah, Rasulullah S.A.W pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Quran.

“Istilah al-Sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Quran mahupun sunah Rasulullah S.A.W dan ijtihad para Sahаbat,’’ tegas Ustaz Babbar.

Dewan Ulamak PAS Sabah juga merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan dan DUN Sabah atas pindaan enakmen kesalahan jenayah syariah ini.

“Islam adalah agama yang menyatukan umat dan mengetepikan pertelingkahan. Sebarang pemikiran, tindakan dan amalan yang menyebabkan perpecahan mesti dielakkan.

“Begitu juga dengan aliran ajaran sesat yang meresap dalam masyarakat Islam wajar dibenteras supaya umat Islam berada dalam kefahaman amalan Islam yang benar dah sahih,’’ ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/8/2019

- Advertisement -