Perlukah daging korban lalui proses ‘dry-aging’?

- Advertisement -

DAGING korban memang sangat enak jika terus dimasak setelah disembelih. Rata-rata mengakui daging korban amat lain rasanya jika dibandingkan dengan daging yang dibeli di pasar. Namun ada pihak terutama yang pernah hidup di negara Barat mendakwa orang Malaysia tidak pandai memakan daging kerana terus memasaknya sebegitu.

- Advertisement -

Di Barat, setiap daging yang disembelih tidak dibenarkan untuk terus dijual. Sebaliknya ia akan melalui proses aging/ageing. Menurut mereka, proses ini perlu dilakukan bagi memastikan daging benar-benar bersih daripada darah. Daging yang berdarah boleh menyebabkan kuman dan bakteria yang merbahaya kepada tubuh manusia. Proses dry-agingsebagai contohnya memerlukan minima 15 hari sebelum dimasak, dan boleh mengambil masa sehingga 30 hari ataupun lebih.

Walaubagaimanapun, sebenarnya kita sebagai Muslim tidak memerlukan proses demikian. Ini kerana cara sembelihan yang kita amalkan sudah cukup untuk memastikan darah keluar daripada daging yang bakal dimakan.

Sama ada konsep zabh (ذبح) atau nahr (نحر), kita dituntut untuk memastikan putusnya urat mari’ atau mereh (pernafasan) dan urat halkum (makanan) selain dua urat wadajain (pembuluh darah iaitu arteri karotid dan urat jugular/vena). Tetapi makruh kita memotong seluruh kepalanya daripada badan. Hikmahnya adalah bagi memastikan otak masih berfungsi menghantar isyarat kepada jantung untuk terus mengepam darah, lalu keluar melalui leher tempat disembelih.

Ada juga yang mempertikaikan konsep sembelihan Islam ibarat menyiksa binatang kerana membiarkan ianya dalam keadaan sedar dan menggelupur kesakitan sebelum mati. Sebenarnya cara Islam jauh lebih baik daripada cara barat yang membius, melemahkan atau memukul sehingga pengsan dahulu sebelum disembelih.

Sebuah kajian dilakukan oleh Prof Wilhelm Schulze daripada School of Veterinary Medicine, Hannover University in Germany dengan membanding dua cara sembelihan. Dengan meletakkan mikrocip EEG pada otak kecil lembu bagi mengesan darjah kesakitan, hasil kajian mendapati bahawa lembu yang disembelih dengan cara Islam langsung tidak merasa sakit. Dalam waktu yang sama, jantung bergerak dengan sangat laju bagi mengepam darah.

Sebaliknya lembu yang dibius atau dipukul menunjukkan peningkatan graf EEG yang ketara semasa ia tidak sedarkan diri. Dalam waktu yang sama, jantung mereka semakin melemah menyebabkan ianya tidak mengepam darah dengan sempurna, lalu mengakibatkan darah membeku dalam salur darah pada daging yang bakal dimakan.

Kesimpulannya, kaedah Islam jauh lebih baik bukan sahaja untuk haiwan sembelihan, bahkan juga untuk kesihatan manusia. Inilah maksud sebenar Islam rahmatan lil ‘alamin yang patut difahami oleh orang Islam mahupun kafir, iaitu dengan melaksanakan ajaran Islam seluruhnya. Bukan dengan cara menjauhkan manusia daripada ajaran Islam. Hasil kebodohan manusia yang lebih mempercayai logik akal mereka berbanding panduan wahyu mengakibatkan perkara yang dianggap rahmat itu sebenarnya mendatangkan kebinasaan diri sendiri.

Walaubagaimanapun, saya bersetuju dengan pendapat supaya tidak dimuatnaik rakaman proses penyembelihan sepanjang korban ini. Bukan kerana sifat apologetik dengan sensitiviti agama lain, tetapi kerana ianya bukan satu keperluan dan tuntutan dalam agama, serta tidak ada faedah yang signifikan daripadanya. Syiar Islam tidak semestinya ditayangkan di media sosial. Biarkan upacara penyembelihan berlaku dak berakhir di tempat penyembelihan sahaja.

Salam Korban 1440H

11 Zulhijjah 1440
12 Ogos 2019

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 12/8/2019

- Advertisement -