Menuntut pengorbanan, merealisasi kejayaan

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya kita diberi kesempatan untuk meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia berhimpun di Padang Arafah bagi menyempurnakan ibadah Haji.

- Advertisement -

Aidiladha mengingatkan kita tentang kisah ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS. Kisah agung yang terpahat dalam kalam Allah ini memberi seribu satu ibrah iaitu menyatukan ummah atas dasar taqwa yang dimiliki. Justeru, perlu ada pengorbanan besar dan kerjasama berterusan daripada seluruh umat.

Pelaksanaan ibadah korban mendekatkan hamba kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Pengorbanan dari segi perasaan, wang ringgit, masa dan tenaga yang dimiliki amat dituntut demi menjadi hamba Allah SWT yang ikhlas dalam menempuhi perjuangan hidup.

Setelah setahun lebih menerajui negeri, pelbagai pencapaian telah dikecapi hasil pengorbanan dan kerjasama semua pihak termasuk pegawai dan agensi kerajaan, anak syarikat mahupun swasta serta rakyat Terengganu.

Sokongan jitu amat diperlukan kerana rakyat ibarat akar yang menguatkan sebuah kerajaan. Tambahan, di arus pemodenan ini, kita menghadapi cabaran di media sosial dengan berita tidak sahih yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab. Ini menimbulkan prasangka serta emosi negatif dalam kalangan masyarakat.

Bersempena Hari Raya Aidiladha ini, marilah kita menyerah diri kepada Allah SWT dan membangun modal insan dengan penerapan nilai murni serta memanfaatkan segala kemajuan dalam negeri.

Akhir kata, saya mewakili Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu.

Sekian, terima kasih.

“Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera”

DATO’ SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
11 Ogos 2019 / 10 Zulhijjah 1440 – HARAKAHDAILY 11/8/2019

- Advertisement -