Perutusan Aidiladha 1440H MB Kelantan

- Advertisement -

RASULULLAH SAW bersabda:

- Advertisement -

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِن الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah daripada menumpahkan darah (laksana ibadat korban). Bahawasanya ia (haiwan yang dikorbankan itu) datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh itu, hendaklah kamu (melaksanakan ibadah korban) dengan mengikhlaskan diri. (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Aidiladha sentiasa mengingatkan kita kepada sebuah pengorbanan agung iaitu kisah Nabi Ibrahim A.S bersama puteranya Ismail A.S. Apabila Nabi Ibrahim diarahkan untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail, mereka terus menjunjung perintah Allah SWT dengan penuh ketaatan dan pengorbanan.

Mengambil ibrah daripada ibadat haji yang melatih umat Islam bersatu dan meninggikan syiar Islam dan berganding bahu menegakkan agama Allah. Di padang Arafah, misalnya, semangat perpaduan dan persaudaraan umat Islam amat erat. Tidak kira pangkat apa pun mereka, baik raja, rakyat biasa, miskin atau kaya semuanya berpakaian seragam berwarna putih bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah SWT yang Maha Esa dan Agung.

Paling penting, ibadat haji mampu mendidik dan membersihkan umat Islam daripada sifat-sifat mazmumah (keji) dan digantikan dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) seterusnya memperoleh haji yang mabrur.

Kita perlu jelas apa sahaja perpaduan dan kesatuan mestilah meletakkan agenda islam sebagai keutamaan yang dipaksikan dengan keimanan. Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh.

Sempena berada pada hari raya haji ini marilah kita sama-sama mendoakan semoga para Jemaah haji dari seluruh dunia yang sedang mengerjakan ibadat haji di Kota Mekah diberikan kesihatan dan keselamatan dan yang paling besar dianugerahkan dengan haji mabrur yang tiada balasan kecuali syurga.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam. Maaf zahir batin daripada saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri, semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita sempena hari Arafah 09 Zulhijjah.

Merakyat Membangun Bersama Islam
‘Kelantan Melangkah Ke Hadapan’
‘Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan’

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
09 Zulhijjah 1440H/ 10 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 10/8/2019

- Advertisement -