Muslimat ziarah warga emas usia hampir 100 tahun

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang telah mengadakan ziarah mahabah kepada warga emas di Permatang Tinggi Bakar Bata, Dun Pinang Tunggal, di sini semalam.

- Advertisement -

Lawatan diketuai Pengerusi LKK Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang, Zakiah Mohamad itu turut disertai Pengerusi LKK Dewan Muslimat PAS Kawasan Kepala Batas Sarimah Manas bersama isteri Adun PAS Penaga, Syahriza Abd Kadir.

Warga emas tersebut, Che Yah Lazim, 97, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Che Yah, menderita penyakit strok sejak 13 tahun lalu hingga mengakibatkan kaki beliau dipotong sebelah akibat jangkitan kuman serius dan gangren.

Setelah kematian anaknya, tanggungjawab menjaga Tok Che Yah kini dipikul pula oleh cucunya, Mohd Zaki Ishak bersama isteri dan lima anak mereka memandangkan warga emas itu sudah terlalu lemah dan tidak berdaya. 

Kata Zaki, beliau redha dengan ujian tersebut dan beliau sanggup berkorban memelihara neneknya demi kasih sayang seorang cucu, setelah pula ibunya telah tiada lagi untuk menjaga Tok Che Yah.

Pun begitu tidak mudah bagi Zaki kerana kos rawatan neneknya itu agak tinggi melibatkan sewaan ambulan untuk ke klinik dan hospital, selain khidmat pegawai perubatan datang berkala untuk mencuci luka pembedahan.

Tok Che Yah pula ceritanya, hanya mampu mengambil susu diabetik melalui tiub, di mana kos keseluruhan rawatan termasuk lampin pakai buang dan ubat-ubatan mencuci luka harian adalah sebanyak RM1,000 ke RM1,500 sebulan.

Namun, hingga kini Tok Che Yah masih tidak mendapat sebarang bantuan kewangan dari Pusat Urus Zakat Negeri(PUZN) mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang amat diperlukan bagi meringankan beban keluarga ini.

Sumbangan untuk Tok Che Yah bolehlah disalurkan kepada cucu beliau ke akaun 7019141005 (CIMB) atau 152116098043 (Maybank) atau terus hubungi Mohd Zaki di talian 0123920454, selain boleh menziarahi di alamat, 567 Permatang Tinggi Bakar Bata. – HARAKAHDAILY 10/8/2019

IMG 20190810 WA0026

- Advertisement -