Maka benarlah kalam Tok Guru

- Advertisement -
“JIKA ada sebesar zarah iman di hati, maka laksanakanlah Islam.” Masih kita teringat akan kalam murabbi kita, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS seketika beliau ditemubual oleh Astro Awani pasca PRU14 tahun lepas. Perkataan itu ditujukan secara khusus kepada jemaah PAN, yang ketika itu sedang bersuka ria kegembiraan. Tidak menyangka bahawa mereka boleh berada dalam senarai Menteri kabinet, menguasai Putrajaya, matlamat ulung perjuangan mereka, sehingga meninggalkan PAS.
 
Peringatan itu adalah suatu kalimah yang menusuk di jiwa mereka, tetapi oleh kerana ego, mereka memilih untuk menyindir kembali nasihat itu. Malah yang dibincangkan ialah Presiden PAS tidak menjawab persoalan pengacara, mantiq beliau yang entah apa-apa. Maka tenggelamlah PAN dalam kemabukan kemenangan yang masih mereka belum boleh mempercayainya kerana tiadalah mereka menyangka, penipuan yang mereka cipta ketika berkempen, dibeli oleh pengundi.
 
Waktu berlalu begitu pantas. Sambutan kemenangan PH, ibarat kata masih merah inai di jari mereka, masih belum hilang bau makanan dan minuman yang mereka nikmati dan, ujian pun bertimpa-timpa datang. Rakyat menuntut janji-janji ketika kempen mereka. Maka dijawab, “Takkan baru kahwin dah beranak?”. Rakyat meminta Najib ditangkap, sehingga setahun, Najib hanya dibicarakan, masih bebas ke sana ke mari dengan slogan ‘malu apa Boss ku’. Harta Umno dituntut untuk dibekukan, nyata ia gagal dibuat.
 
Rakyat menunggu nilai RM naik, bahkan, ia semakin menurun. Rakyat mengimpikan barangan harian yang mereka beli di pasaraya, akan menjadi penuh satu troli, hanya dengan RM50, namun, harga barang semakin naik. Rakyat menunggu ‘orang minyak’ untuk membantu mereka menurunkan harga minyak, sebagaimana kiraan yang sangat mudah untuk dibuat. Sayangnya ‘orang minyak’ itu, tiba-tiba diam, membisu, hilang entah ke mana. Dia lari bagaikan terlihat ‘penghulu bunian’ datang mencarinya.
 
Hutang negara, dicampur dengan segala benda yang boleh dicampur, bagi menaikkan jumlah hutang itu, yang akhirnya, pelabur juga bertempiaran lari, kerana ketakutan. Sang wazir membuat kiraan yang salah, dengan wajahnya yang tiada dosa dan noda. Rupanya beliau tidak mempunyai sijil untuk itu. Hanya gah pada nama, kononnya dia pakar. Kadang-kadang hutang negara disebut RM600 bilion lebih, kadang-kadang RM1 trilion. Mereka sendiri bingung.
 
Itu hal ekonomi yang mereka, suatu ketika dahulu mengaku sebagai pakar dalam mentadbir negara. Kononnya mereka adalah kumpulan kafir yang amanah, yang disokong pula oleh sekumpulan Muslim yang mengajak orang Islam menyokong si kafir. Namun setelah setahun lebih, PM sendiri menyatakan bahawa pencapaian anak buah beliau jauh daripada memuaskan. Akan tetapi, jemaah wazir itu tetap dengan bangganya meletakkan harga mereka sendiri dengan nilai memuaskan. Apa nak buat, ‘naik lif’ lah mereka.
 
Dalam hal ehwal agama pula, mereka masing-masing seperti orang buta memandu kereta. Mengarut dan meliar. Syiah dengan bangganya menuntut hak sama rata mereka. Menteri didapati solat mengikut mazhab Syiah, tiada lagi bersembunyi, terang-terangan sambil memberikan jawapan memperbodohkan orang. Menteri agama pula dengan bangganya menghitung pencapaian yang ‘beliau’ buat. Rupanya kejayaan yang disebut dan diratib beliau, kejayaan dari kerajaan yang lalu. Sungguh tidak malu. Bila dimarahi rakyat, bertanya kembali beliau, bodoh sangatkah saya?
 
Semakin hari, dilihat sepertinya semakin hina Islam diperlakukan. Orang Islam sendiri terkadang melopong mulut mereka, terkejut dengan perbuatan bukan Islam yang sebelum ini tidak pernah dipertontonkan sedemikian rupa kepada orang Islam. Penghinaan kepada Rasulullah dan agama ini, bertali arus. Paling menyakitkan, yang disuruh sabar dan diam ialah umat Islam. Tindakan kepada penghina sangat lambat. Malah kenyataan mempertahankan agama juga selain lambat, ia juga tidak serius.
 
Masalah dengan istana semakin meruncing. Si penghina raja dilepaskan, bebas memberi ceramah, malah dikawal pula oleh soldadu. Mengiktiraf si penghina dengan layanan sebegitu, bermakna memperlekehkan institusi istana iaitu payung kepada agama Islam di Malaysia. Bagaimana beradabnya kelaku Almarhum TG Nik Aziz dengan Sultan Kelantan dahulu, walaupun ketika itu istana dan Kerajaan Negeri berselisih. Lihat akhlak Presiden PAS dengan Tuanku Sultan Terengganu, berpelukan mereka, hormat-menghormati.
 
Almarhum Tan Sri Azizan Razak, menerima pingat yang membawa gelaran Tan Sri oleh Almarhum Tuanku Sultan Kedah, ketika baginda menjadi YDP Agong, mengesahkan ikatan baik mereka. Begitu juga Almarhum Dato’ Fadzil Noor, seorang wakil Pembangkang ketika menerima darjah kebesaran dari baginda. Istimewa juga Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dengan YDP Agong sekarang. Selain guru, mereka mempunyai ikatan yang sangat baik. Dato’ Tuan juga seperti Dato’ Fadzil, menerima pingat ketika menjadi Pembangkang.
 
Itulah akhlak Islam. Ditonjolkan oleh ulamak-ulamak PAS kepada Raja-raja Melayu. Menghormati ketua adalah salah satu ajaran Islam. Dalam Islam juga jika kita mahu memberikan teguran kepada penguasa, disuruh dengan cara baik, bukan kurang ajar. Nabi Musa disuruh mengadap Firaun, yang mengaku tuhan itu dengan cara yang lemah lembut. Walaupun sudah terang dan nyata perbuatan syirik Firaun itu. Namun atas nama dia sebagai penguasa, ada kaedahnya.
 
Sikap kurang ajar yang ditunjukkan oleh DAP terhadap Tuanku Sultan Selangor adalah di luar kemunasabahan. Sultan yang mesti dihormati, telah diperlekehkan oleh mereka dalam Dun Selangor. Cubaan MB meminda enakmen berkenaan agama Islam iaitu perkara di bawah Tuanku Sultan, telah diketepikan oleh Speaker dengan menangguhkan Sidang Dun yang sepatutnya bersidang selama 12 hari iaitu 29 Julai sehingga 9 Ogos dipendekkan menjadi hanya dua hari dengan alasan yang semua orang juga tidak faham, keliru.
 
DAP yang sebelum ini tidak pernah gagal untuk memperlekehkan institusi istana seperti yang berlaku di Johor. Keengganan wakil mereka memakai songkok, mempersoalkan istana dalam Parlimen antaranya, memberikan gambaran jelas tindak balas yang mereka lakukan ini ialah sebagai serampang dua mata. Satu kepada bangsa Melayu dan satu lagi kepada Islam, kerana Raja-raja Melayu adalah payung kepada dua hal ini.
 
Kita tidak terlalu kesal dengan DAP. Maklumlah mereka bukan Melayu dan majoriti yang bukan Islam. Tetapi diamnya PAN, sahabat mereka dalam hal ini, sangat menyakitkan hati rakyat Melayu Islam. PKR dan Bersatu, mereka berlainan entiti dengan DAP, maka kita memahami keadaan mereka. Malah Bersatu terkadang menengking juga kepada DAP kerana asyik menjolok Tun M, mahu disegerakan serahan kerusi PM kepada Anwar, tokoh kesayangan mereka.
 
Namun PAN, yang mendakwa mahu menjadi benteng kepada Islam, akhirnya terkulai. Apa yang pernah kita dengar yang keluar dari mulut PAN, menegur DAP terutama yang berkaitan dengan Islam? Mereka hanya membuka mulut bila ada serangan kepada DAP. Paling digemari mereka ialah Presiden PAS. Sedangkan sudah terbukti, PAS sanggup kalah daripada bergabung dengan kumpulan yang menyekat perkembangan Islam. Tidak ada parti yang gila kepada kebendaan yang sanggup berbuat seperti PAS. Hanya parti yang asasnya Islam sahaja, sanggup membuang segalanya demi kerana Allah.
 
Anda semua boleh melihat dengan mata kepala anda sendiri. Enakmen yang mahu dibawakan oleh MB Selangor adalah bagi memudahkan kemasukan bukan Islam ke dalam Islam iaitu untuk menukarkan perkataan ‘DAN’ kepada ‘ATAU’ sahaja, untuk ibu, bapa dan penjaga, tetapi jelas kebencian DAP bukan terhala kepada PAS sahaja, ia kepada Islam seluruhnya. Apa yang PAN lakukan? Diam. Sedangkan janji Allah ialah apabila kita berjaya membawa seseorang kepada Islam, ianya lebih baik daripada unta merah. Namun janji Allah tiada mereka terliurkan mungkin? Apalah malang mempunyai kumpulan yang mendakwa melindungi Islam, tetapi mengecewakan umat.
 
Jadi sangat jelas dan nyata cabaran oleh Presiden PAS untuk mereka membuktikan mereka melaksanakan kehendak Islam, telah gagal. Mereka sangat lemah. Mereka hanya melafazkan ungkapan melaksanakan Islam dengan mudah, tanpa mereka sedar bahawa ujian untuk melaksanakannya jauh lebih mencabar. Apatah lagi dengan status mereka bagaikan melukut di tepi gantang. Tiada upaya, hanya mampu melihat dan sangat gembira, berlagak dengan pangkat dan jawatannya. Kemanakah janji kita ke Putrajaya dahulu, baharulah kita laksanakan Islam?
 
Benarlah kata-kata Presiden kami. Jika masih ada iman sebesar zarah. Dan adakah iman itu di dalam hati mereka? Sekarang, tidakkah ini membuktikan PRU boleh menyebabkan kesan negatif kepada agama jika diberikan kuasa kepada orang yang salah? 
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
9 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 9/8/2019
- Advertisement -