Jenayah siber, apa kesudahan?

- Advertisement -
BERDASARKAN statistik Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCert), sebanyak 4,457 kes melibatkan jenayah siber direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun 2019 dengan jumlah kes penipuan berada di carta tertinggi statistik.
 
Berdasarkan statistik sama, sebanyak 10,699 kes jenayah siber dicatatkan tahun lalu dan jumlah tersebut meningkat sebanyak 25.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, sebanyak 7,962 kes.
 
Statistik tersebut membahagikan sembilan kategori jenayah siber, antaranya gangguan siber, penafian perkhidmatan, pencerobohan, spam dan lain-lain lagi.
 
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengkategorikan kes penipuan kepada enam kategori utama iaitu penipuan bungkusan, antarabangsa, kad kredit, perbankan elektronik, cinta dan insuran.
 
Melihat kepada statistik yang membimbangkan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato’ Nadzim Johan berkata, antara benteng utama yang boleh disarankan kepada pengguna supaya jenayah penipuan siber ini tidak terus mencatatkan peningkatan adalah mendidik pengguna supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan tersebut.
 
Katanya, sesetengah individu sering tertipu dengan tawaran lumayan yang dipaparkan di platfrom atas talian, termasuk terpedaya dengan harga murah yang tidak masuk akal.
 
“Solusi utamanya adalah dengan mendidik pengguna dengan lebih tekun, contohnya ibu-bapa perlulah memberi kesedaran mengenai pendidikan siber terhadap anak-anak mereka dan sebaliknya,” ujarnya ketika dihubungi Harakah.
 
Menurut beliau, antara solusi lain yang boleh diguna pakai adalah dengan memperkasakan sistem jaringan komunikasi Malaysia yang dilihat sangat mudah untuk pembelian number telefon tanpa kad pengenalan.
 
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) perlu ambil tindakan, lakukanlah sesuatu,” ujarnya.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan bahawa pihak berautoriti perlu mengenakan hukuman yang lebih keras terhadap mana-mana entiti yang mendedahkan maklumat pengguna kepada pihak ketiga selain memikirkan kaedah-kaedah lain untuk membantu rakyat.
 
Katanya, hal sebegini terjadi semestinya kerana penjenayah mempunyai maklumat mangsa atau individu disasarkan yang mana pastinya data tersebut telah dijual atau dibocorkan mana-mana pihak.
 
Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa kempen kesedaran kepada pengguna perlu ditingkatkan kepada seluruh lapisan masyarakat agar rakyat lebih prihatin terhadap undang-undang yang disediakan untuk melindungi hak mereka.
 
“Ini kerana biasanya jenayah siber ini mensasarkan golongan yang tidak mengetahui secara terperinci berhubung selok-belok dunia digital,” ujarnya.
 
Disamping itu, beliau turut menyarankan agar pihak berkuasa sentiasa mengingatkan masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mendedahkan data peribadi mereka kepada pihak ketiga.
 
“Mengikut pengalaman pihak polis yang mengendalikan kes-kes sebegini, data-data yang didedahkan kepada pihak tidak berautoriti inilah yang kemudiannya digunakan untuk melakukan jenayah siber,” jelas beliau lagi.
 
Antara kaedah-kaedah pencegahan lain yang boleh diparktikkan pengguna untuk mengelakkan penipuan e-Banking ialah elakkan mengguna kaedah ‘Auto-Login’ atau ‘Remember Me’ pada laman web yag dilayari terutama laman yang melibatkan transiksi perbankan.
 
Biarpun menggunakan ‘Auto-Login’, pengguna dinasihati sentiasa mengemaskini atau menukar kata kunci dengan kerap serta menggunakan kata kunci yang sukar untuk diramal individu tidak bertanggungjawab seperti tarikh hari lahir, nama sendiri, ‘password’ dan sebagainya.
 
Selain itu, memuat turun aplikasi yang mampu meramal panggilan masuk seperti ‘True Caller’ mungkin boleh menjadi salah satu benteng awal kepada pengguna sekiranya pengguna tersebut menjadi sasaran.
 
Sementara itu, JSJK juga telah menyediakan plaform untuk menyemak nombor telefon yang tidak dikenali atau nombor akaun bank yang sering digunakan ‘scammer’ supaya pengguna boleh menyemak secara mudah diatas talian di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule – HARAKAHDAILY 9/8/2019
- Advertisement -