Solat ditegah kerana majikan memerintah kerja

- Advertisement -

SEDANG polemik isu tulisan khat Jawi masih hangat dibincang di media sosial, satu lagi isu sensitif umat Islam direnjut dan ‘dicabul’.

- Advertisement -

Baru-baru ini, tular berita pekerja syarikat kilang plastik di Kapar, Klang mendakwa mendapat memo larangan mengerjakan solat kecuali pada waktu makan tengahari sahaja. Bukan itu sahaja, pekerja yang melanggar arahan turut dikenakan denda sebanyak RM500 bagi setiap kali kesalahan

Kes majikan melarang pekerja menunaikan solat bukanlah perkara baru. Pada tahun 2015, awal Februari, Utusan Online memetik seorang pembantu jualan wanita di sebuah pasaraya di Muar, Johor telah dihamburkan kata-kata kesat. Malah, beliau direntap secara biadab oleh penyelianya ketika solat di bilik rehat menuju ke pejabat.

“Bukan semua outlet mengamalkan peraturan sebegini. Malah, ada pekerja Islam yang tidak jujur dan mengambil kesempatan menggunakan alasan solat tetapi melepak dan merokok,” demikian luah seorang mantan pekerja di sebuah syarikat sukan terkenal jenama antarabangsa.

Berita ini telah ciap dan dimuatnaik oleh seorang pengguna Twittermendakwa penyelia syarikat jenama sukan di Ibu Kota telah memberi amaran keras kepada pekerjanya daripada mengerjakan solat.

Penulis merasa terpanggil ‘menumis’ isu ini secara serius apabila anak jiran sendiri turut dirundung duka berdepan masalah yang sama di premis bekerjanya sebuah franchais makanan terkemuka di BENTONG, Pahang.

“Saya dibenarkan solat di sebuah bilik kecik menempatkan barang-barang. Cuma waktu menjadi hambatan saya. Solat Zohor di hujung waktu cantum dengan solat Asar sekali. Begitulah juga solat Maghrib cantum sekali dengan solat Isyak andai shift kerja saya berakhir jam 11 malam.

“Jika saya bekerja seorang, kawan seorang lagi bercuti, saya sangat sedih kerana tidak dibenarkan solat ketika ramai orang. Biasanya ketika Maghrib,” adu beliau menerusi perbualan WhatsApp ketika diminta mengulas situasi amat tidak selesanya ini kepada penulis.

Penulis sebagai ibu amat memahami dan menjiwai keresahan dan kerisauan hati seorang anak muda yang baik seperti beliau. Bukan satu perkara mudah melaksanakan ketaatan kepada Allah dikelilingi suasana yang bebal dan kebal dengan kemaksiatan

Tetapi, menjadi fitnah pula kepada agama apabila orang Islam sendiri tidak menghiraukan kewajipan bersolat.

“Kenapa awak sibuk nak sembahyang setiap masa? Orang lain tak sembahyang pun sedangkan awak satu agama. Kalau awak kuat agama, sini bukan tempat awak,” sergah majikan dengan nada tinggi kepada anak jiran penulis ini di hadapan pelanggan kedainya.

Penulis sempat mengajukan isu larangan orang Islam bersolat oleh majikan bukan Islam yang sedang tular kini kepada Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak.

“Menghalang orang Islam bersolat menunaikan hak agamanya bukan sekadar telah melanggar hak asasi manusia dalam beragama, tetapi bercanggah dengan hak kebebasan beragama yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

“Dalam al Quran Allah sebut, “Lakum Diinukum Waliayadin”, “Kamu agama kamu, kami agama kami”,” ujar beliau.

Di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamal dengan aman damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Di mana lagi tempat kita mahu mengadu? Mana pemimpin ‘rahmatan lil alamin’ yang berkokok berjuang kononnya untuk agama Islam di negara ini? Usah ‘menang kokok agama tergadai’! – HARAKAHDAILY 8/8/2019

- Advertisement -