Persiap jentera PRU, negara tidak stabil bawah PH

- Advertisement -

LARUT: Semua Jentera parti diarahkan untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai kemungkinan memandangkan situasi politik Perak khususnya dan negara amnya berada dalam keadaan tidak stabil sejak PRU14.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menyampaikan amanat tersebut dalam Majlis Pelantikan dan Penyerahan Watikah kepada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Larut di Darul Ta’lim, di sini kelmarin.

Kata beliau, jentera parti tidak seharusnya menunggu sehingga PRU akan datang kerana konflik dalaman PH kian memuncak dan tidak dapat dibendung lagi.

“Terkini kita lihat di Selangor yang dikhabarkan MB berada dalam keadaan tidak stabil angkara perebutan sesama mereka, inilah antara petanda-petanda yang perlu dijadikan panduan oleh jentera parti,”ujar beliau.

PAS Perak jelas Razman, akan meneruskan kerjasama atau ta’awundengan Umno kerana kerjasama ini amat menggerunkan PH, oleh itu katanya, hubungan tersebut akan diperkuatkan lagi.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Larut, Ustaz Akmal Kamarudin pula menjelaskan semua ahli PAS perlu menjadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail.

Terangnya, keluarga tersebut perlu diambil sebagai panduan dalam perjuangan antaranya Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail, ketika itu berkorban demi Allah mengatasi pengorbanan perasaan.

“Nabi Ibrahim diminta berkorban perasaan tinggalkan isterinya, isterinya berkorban perasaan ditinggalkan suami di tanah kering kontang, dan anak mereka berkorban perasaan untuk disembelih oleh bapanya. Semua ini dilakukan demi pengorbanan kepada Allah,” sambung beliau.

Majlis Pelantikan dan Penyerahan Watikah ini diisi dengan amanat Pesuruhjaya, disusuli dengan penyerahan watikah serta bacaan ikrar atau bai’ah dihadapan Pesuruhjaya dan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai. – HARAKAHDAILY 8/8/2019

- Advertisement -