Normalisasi, agenda siapa?

- Advertisement -
ACAPKALI Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT) meniti di bibir masyarakat, malah ia bukan lagi menjadi perkara sensitif atau luar biasa bagi segenap umat Islam di Malaysia.
 
Tidak cukup dengan LGBT, gejala membuka pekung sendiri juga seolah-olah menjadi satu ‘trend’ yang berselindung disebalik alasan tidak hipokrit dan menjadi diri sendiri. Normalkah ini?
 
Itu belum masuk menghalalkan tindakan diri sendiri memilih jalan syubhah berbanding memilih jalan yang terbukti suci dan bersih. Malah, ada yang berhasrat menghasut dan mengajak individu lain mengikuti jejak mereka.
 
Ia dinormalisasikan, entah oleh siapa. Sesetengah individu malah menghalalkan tindakan sendiri seperti mengumpat yang lebih mesra diganti dengan ‘membawang’, LGBT yang lebih mesra dengan ‘mengunyit’, membuka aib orang lain lebih mesra dengan ‘spill the tea’ dan sebagainya. Adakah ini untuk mengurangkan rasa bersalah?
 
Misalnya, Heineken 0.0, Oktoberfest, ‘I Want To Touch a Dog’, Rania Zara Medina, himpunan LGBT, letak nama kedai ala-ala Islamik, dan banyak lagi agenda normalisasi yang tidak mampu untuk disenaraikan.
 
Menurut Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim melalu itulisan beliau di Berita Harian, beliau menterjemah normalisasi sebagai satu proses menjadikan sesuatu yang agak asing dan luar biasa kepada tidak asing lagi hingga diterima umum yang barangkali diungkap dalam pepatah Melayu, ‘alah bisa tegal biasa’.
 
Katanya, proses menormalisasi ini sangat baik dalam keadaan tertentu tetapi bahaya dalam situasi lain. 
 
Contohnya, normalisasi yang baik dalam masyarakat ialah apabila suatu ketika dahulu, adalah tidak normal melihat anak gadis Muslimah menutup aurat hingga mahasiswi pengajian Islam pun tidak menutup aurat secara sempurna ketika itu.
 
Namun, hasil kehendak politik pemimpin negara suatu ketika dahulu yang bersungguh-sungguh melancarkan Kempen Penerapan Nilai-nilai Islam dan kesedaran telah mencetuskan kebangkitan agama, wanita Muslimah bertudung dan menutup aurat menjadi normal dan diterima masyarakat serta tidak dianggap ganjil.
 
Pun begitu, jika ia menjurus kepada mencairkan pegangan, penghayatan dan pengamalan agama, umat Islam wajar diingatkan selalu, dan umat Islam wajib sedar agar tidak terjerat dalam perangkap normalisasi ini yang ada kalanya melalui penggunaan nama dan bahasa.
 
Mungkin agenda normalisasi ini bukan agenda siapa-siapa, mungkin berpunca dari sikap masyarakat sendiri yang sambil lewa hukum hakam agama, pendosa akan sentiasa mengenal dosanya, namun menghalalkan dosa dan mengajak pendosa lain menormalisasikan dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang baik. – HARAKAHDAILY 8/8/2019
IMG 20190808 WA0042
- Advertisement -