KPM dituntut perjelas masa depan IPG

- Advertisement -

PADA April lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching telah memberikan jaminan bahawa tiada Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup atau ditukar fungsi dan turut memaklumkan bahawa seramai 6,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan memasuki 27 buah IPG di seluruh negara tahun ini.

- Advertisement -

Selepas itu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik juga menyeru pelajar yang cemerlang dalam SPM supaya memasuki IPG bagi melanjutkan pelajaran dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Tetapi, baru-baru ini terdapat maklumat daripada beberapa sumber mengatakan bahawa sebilangan IPG akan ditutup, sebahagiannya lagi akan ditukar fungsi termasuk dijadikan Institut Latihan Awam dan dijual kepada agensi lain yang berminat. Susulan itu, tiada lagi pengambilan baru akan dibuat selepas ini atau ia akan dikurangkan dari semasa ke semasa.

Lebih daripada itu, turut dimaklumkan bahawa latihan bagi guru atau penuntut PISMP hanya akan dibuat oleh universiti awam sahaja dan bukan lagi oleh IPG menyebabkan pelajar-pelajar ini perlu membayar yuran pengajian, tidak lagi diberikan elaun dan tiada jaminan penempatan selepas tamat pengajian.

Adakah kerana keadaan kewangan Kerajaan Persekutuan hari ini dengan hutang yang semakin meningkat, IPG yang sangat berjasa untuk latihan perguruan dan dalam meningkatkan kualiti pendidikan mahu dijadikan mangsa serta peluang anak-anak Melayu mendapat pembiayaan pendidikan percuma menerusi IPG ini mahu dihapuskan?

Jika benar ia akan ditutup, latihan pendidikan guru yang telah diterajui oleh IPG sejak puluhan tahun sebelum ini akan disia-siakan sahaja bahkan tenaga-tenaga pakar dari IPG ini tidak lagi akan duduk sebumbung bagi terus memimpin latihan pendidikan guru seperti sekarang ini.

Oleh demikian, saya menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya segera memberikan penjelasan mengenai masa depan IPG dan nasib bakal-bakal guru ini. Jaminan KPM terhadap isu ini amat penting bagi memastikan hala tuju pendidikan negara berada pada landasan yang betul.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis, 8 Ogos 2019 | 7 Zulhijjah 1440 – HARAKAHDAILY 8/8/2019

- Advertisement -