Isu tulisan khat Jawi: DAP sudah menang?

- Advertisement -
INILAH persepsi awal yang timbul, iaitu DAP sudah menang dalam isu tulisan khat bila para pemimpin tinggi DAP, terutama yang paling lantang menentangnya seperti Ronnie Liu dan Dr P Ramasamy, berlumba-lumba memuatnaikkan kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini bertajuk “Pengenalan Seni Tulisan Khat Dilaksanakan Secara Pilihan”.
 
Kenyataan media ini menyebut Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2019 telah meneliti semua pandangan mengenai isu pengenalan seni tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 SJKC dan SJKT mulai tahun 2020 tanpa disebutkan secara spesifik pihak manakah yang memberi semua pandangan tersebut.
 
Bagaimanapun, melalui laporan media dapat diketahui antara yang mahu menyampaikan kepada Kabinet pendirian mereka mengenai isu tulisan khat ini adalah para pemimpin DAP seperti yang disebut oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, dan para pemimpin DAP Sarawak seperti yang disebut oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
 
Melalui laporan media juga dapat diketahui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ekoran lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke Fukuoka, Jepun, di mana Datuk Seri Dr Wan Azizah kemudiannya berlepas ke Mekah selepas mesyuarat itu.
 
Menarik bila Datuk Seri Dr Wan Azizah, yang sebelum ini berkata beliau akan membincangkan balik isu tulisan khat ini dengan Tun Dr Mahathir selepas Tun Dr Mahathir pulang, kini berani membuat keputusan sendiri tanpa perlu menunggu Tun Dr Mahathir pulang dahulu sedangkan Tun Dr Mahathir sebelum ini berkata ia adalah muktamad.
 
Walaupun ia hanya akan dilaksanakan pada tahun 2020, yang masih jauh lagi jarak masanya, tetapi isu tulisan khat ini terlalu penting dan mendesak agaknya hingga perlu diputuskan pada 7 Ogos itu juga.
 
Tahniah Datuk Seri Dr Wan Azizah dan para pemimpin DAP. – HARAKAHDAILY 8/8/2019
- Advertisement -