Isu khat Jawi: AGRA bidas sikap Dong Zong

- Advertisement -
PERTAMA sekali, Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) utamanya kepada pihak Menteri, YB Dr. Maszlee Malik kerana tetap meneruskan pelaksanaan Tulisan Khat Aksara Jawi biarpun dihimpit pelbagai kecaman dan tekanan dek kerana ketidakfahaman masyarakat mengenai pelaksanaan modul ‘Tulisan Khat Dalam Aksara Jawi’  yang akan dilaksanakan pada tahun 2020 dimulakan ke atas murid Tahun 4 di bawah sistem sekolah rendah kerajaan atas hasrat pihak kementerian memberikan pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai warisan, sejarah serta kesenian Bahasa Melayu.
 
Di sebalik keputusan untuk meneruskan pengajian Tulisan Khat ini, AGRA sedikit terkilan dengan keputusan KPM apabila mengurangkan lembaran pengajaran Tulisan Khat dari sekadar 6 muka surat kepada 4 muka surat malah menjadikan silibus ini hanya diteruskan sebagai modul pilihan, di mana para guru mempunyai opsyen samada untuk mengajar atau tidak. Secara tidak langsung, tampak KPM seakan tunduk dengan desakan ‘picisan’ yang tidak seharusnya dilayan!
 
Ini kerana pangajaran aksara Jawi ini selaku warisan Bahasa Melayu langsung tidak bertentangan dengan Perlembagaan apabila ianya dipelihara melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Malah dalam Akta 32: Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Fasal 9 secara jelas menyatakan Tulisan bagi Bahasa Kebangsaan adalah Tulisan Jawi sepertimana pernyataannya dalam akta tersebut;
 
“Fasal 9: Tulisan bagi bahasa kebangsaan: Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.”
 
AGRA juga ingin menzahirkan kekecewaan kami mewakil ’90 gabungan NGO Nasionalis’ lain yang bersama dengan AGRA atas kenyataan terbaharu Dong Zong yang kembali menyatakan penolakan mereka ke atas implemantasi pengajian Khat dalam subjek Bahasa Melayu biarpun pihak KPM mengambil pendekatan berlembut dari segi metod pengajaran melalui sidang media YB Dr. Maszlee Malik pada hari ini, setelah pertemuan secara harmoni pada sesi penyerahan memorandum AGRA kepada Dong Zong bertarikh 6 Ogos 2019.
 
Ternyata pertimbangan terbaharu Dong Zong adalah tidak berasas apatah lagi mengaitkan pengajian Khat, aksara Jawi dengan agenda Islamisasi malah Dong Zong nyata berbohong untuk menambah kemarahan kelompok tertentu dengan mengatakan bahawa pengajian Khat ini akan mengambil ayat-ayat Al-Quran sepertimana yang dilaporkan media melalui kenyataan falasi Dong Zong hari ini. Jelaslah kini bahawa Dong Zong sebuah gabungan yang mengkhianati agenda Nasional atas hasrat kerajaan yang ingin memasak jati kebangsaan dalam pada mendidik masyarat untuk menghargai nilai warisan kebangsaan demi melahirkan kesepaduan membina identiti negara bangsa. Dong Zong pula pada suatu sisi seakan tidak mendalami mahupun memeluk erat Perlembagaan dan Undang-Undang Malaysia yang turut memartabatkan aksara Jawi sebagai jati kebangsaan.
 
AGRA ingin menegaskan disini, supaya Dong Zong jangan bermain dengan api! Menambah minyak dalam ketidakfahaman masyarakat atas agenda murni kerajaan menyemai benih membina identiti negara bangsa! AGRA akan melawan segala entiti anti-nasionalisme dan bersedia berhadapan dalam pelbagai medium demi memberikan kefahaman dan menyangkal segala agenda yang menghancurkan keharmonian negara. Dalam pada itu AGRA ingin memaklumkan program-program berbentuk kenegaraan yang melibatkan pelbagai kaum sedang giat dijalankan melalui AGRA demi melahirkan anak bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan harmoni dengan jati kebangsaan yang kukuh! Nyalakan Tekad!
 
MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR
Presiden AGRA – HARAKAHDAILY 8/8/2019
- Advertisement -