DAP kian bertaring

- Advertisement -

BELUM pun reda kemelut isu tulisan Jawi dan Khat yang dibantah keras oleh sebahagian pemimpin DAP, kita dikejutkan pula dengan gelagat DAP di Selangor yang membantah RUU Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang berkaitan dengan pendaftaran pemelukan agama Islam oleh muallaf.

- Advertisement -

Sungguh hebat kuasa Speaker Dun Selangor, YB Ng Suee Lim daripada DAP. Dia bertindak memendekkan sidang Dun hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu sedangkan pada asalnya dijadual berlangsung daripada 29 Julai hingga 9 Ogos.

Sungguh berani Speaker DAP ini bertindak sedemikian rupa sedangkan RUU tersebut sepatutnya dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor, YB Amirudin Shari yang memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam Selangor.

Dun Selangor mempunyai 56 Ahli Dewan Negeri.
Kerajaan PH menguasai 50 kerusi manakala Umno mempunyai 5 kerusi dan PAS ada 1 kerusi.
Komposisi dalam Kerajaan PH Selangor mengikut parti adalah seperti berikut;
PKR: 21 kerusi
DAP: 16 kerusi
PAN: 8 kerusi
PPBM: 5 kerusi

Persoalan yang wajar kita tanyakan ialah ke mana hilangnya suara sekalian Adun yang beragama Islam dalam PKR, PAN dan PPBM?

Mereka sendiri tidak berani menyatakan pendirian sedangkan RUU Kerajaan telah ditentang oleh DAP yang merupakan parti komponen Kerajaan PH Negeri Selangor.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada hari ini tampil membela Speaker Dun Selangor yang menyekat RUU dibentangkan di Sidang Dun.

Apakah isi kandungan RUU Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dibantah keras oleh DAP ini?
RUU tersebut bertujuan untuk meminda peruntukan berkaitan dengan pemelukan agama Islam oleh orang yang belum mencapai umur 18 tahun.
Antara yang akan dipinda ialah perkataan “ibu dan bapa” kepada “ibu atau bapa” agar selaras dengan perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Ianya memberi makna RUU ini akan membolehkan orang yang di bawah 18 tahun memeluk Islam hanya memerlukan keizinan salah seorang daripada ibu atau bapa atau penjaga.

DAP membantah kerana mereka berpendirian bahawa penukaran agama individu bawah umur kepada Islam hanya boleh dilakukan dengan kebenaran kedua-dua ibu bapa sepertimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi pada tahun 2018.

Sungguhpun demikian, perlu juga diingat Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007 dalam kes Subashini menafsirkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan sebagai keizinan “ibu atau bapa” sudah cukup dalam hal pemelukan Islam kanak-kanak.

Hari demi hari kita dapat melihat bagaimana berkuasanya DAP menggunakan taringnya dalam hal yang menyentuh kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu.
Mereka bebas bertindak sesuka hati tetapi apabila kita bersuara menegur dan mempertahankan hak, kita pula yang dituduh sebagai kelompok rasis dan ekstrem.

Seandainya ummat Islam hari ini masih terus berpeluk tubuh, berdiam diri dan bercakaran semasa sendiri tatkala kedudukan Islam diperkotak-katikkan, entah apalah nasib yang akan melanda kita pada masa hadapan.
Hilang jati diri, merempat di bumi sendiri.
 
SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Institut Penyelidikan dan Strategi PAS
8 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 8/8/2019

- Advertisement -