Kelantan setuju Adun isytihar harta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan setuju wakil-wakil rakyat peringkat Dun turut mengisytiharkan harta kepada kerajaan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pengisytiharan itu dibuat kepada kerajaan sahaja dan tidak didedah kepada orang ramai bagi mengelakan sebarang kemungkinan negatif.

Katanya, Kelantan menyambut baik jika usaha itu dilakukan bagi memantau gejala rasuah di peringkat negeri-negeri.

“Bagaimanapun PAS menolak kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melihat pemerintahan di negeri-negeri berisiko menjadi lubuk rasuah dengan kekayaan tanah dan lombong.

“Alasan SPRM negeri merupakan lubuk rasuah tidak benar, tetapi jika pengisytiharan harta itu dibuat untuk memudahkan pemantauan, ia merupakan satu langkah yang baik,” katanya selepas merasmikan Rumah Ronald McDonald di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini petang semalam. (Foto atas)

Turut hadir anggota Exco Mumtaz Md Nawi, Pengarah Kampus Kesihatan, Prof Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.

Sebelum ini SPRM mencadangkan semua Adun wajib mengisytiharkan harta bagi mengelak perbuatan rasuah di negeri-negeri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilapor berkata pihaknya sedang menjelajah ke beberapa negeri bagi mendapatkan maklum balas berkaitan pelaksanaan syor berkenaan. – HARAKAHDAILY 7/8/2019

- Advertisement -