Jelaskan apa interprestasi politik di masjid

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhamad Sanusi Mohd Nor menggesa kerajaan agar menjelaskan apakah interprestasi politik di masjid yang menjadi persoalan hangat sama ada dalam sidang Dun lalu dan kali ini.

- Advertisement -

“Andai orang politik tidak boleh bercakap di dalam masjid, kenapa pemimpin kerajaan boleh bercakap. Mereka juga orang politik.

“Sedangkan banyak masjid dikuasai oleh pemimpin atau Adun-Adun PAS sebagai pengkuliah, penyampai tazkirah atau membaca khutbah kerana masyarakat pun sedia maklum PAS mempunyai ramai golongan yang berilmu dan kehadapan,” ujar beliau ketika sidang media di Wisma Darul Iman, tengah hari tadi.

Katanya, tindakan kerajaan agar permohonan dibuat dua minggu sebelum program kuliah atau khutbah amatlah tidak munasabah.

Adun Jeneri itu mempertikaikan kenapa peraturan untuk menyampaikan kuliah dan berkaitan dengannya menjadi ketat sedemikian sedangkan tidak pernah wujud larangan politik di rumah ibadat penganut agama lain.

“Adakah ini sikap double standard golongan tertentu terhadap institusi masjid atau adakah terselit agenda agar orang Islam ketinggalan,” soal beliau.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Pulau Pinang perlu membayar kepada Kedah RM30 juta atau paling kurang RM20 juta setahun sebagai pembayaran pembekalan air.

Beliau menyatakan demikian semasa mencelah ucapan Mohd Isa Shafie (PAS-Belantik) yang menyuarakan agar kerajaan negeri mengambil tindakan menangani masalah air di daerah Sik terutama di Guber.

Dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan sempena sidang Dun kali ini, Adun Belantik mengharapkan agar penebangan hutan di kawasan bukit yang aktif sebelum ini di daerah itu dapat dikurangkan memandangkan ia memberi kesan yang serius terhadap pengairan terbabit. – HARAKAHDAILY 7/8/2019

- Advertisement -