Jaga perpaduan, jangan sebar pengaruh Syiah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendirian PAS menyokong sikap Iran dalam pertembungan di antara blok Iran dan blok Amerika adalah disebabkan tindakan Iran yang tegas memperjuangkan isu Palestin dan pembebasan Baitul Maqdis, kata Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Presiden PAS berkata, sikap tegas negara Iran itu bagi menghalang perancangan Amerika yang didukung oleh beberapa negara Arab untuk melaksanakan peta baru yang berdarah, digelar sebagai Deal of The Century dengan cadangan menubuhkan negara Palestin baru di bumi Mesir dengan syarat meninggalkan tanah air Palestin dan Baitul Maqdis diserahkan kepada Israel.

“Seluruh negara umat Islam perlu bersatu menghalang usaha jahat yang ditaja musuh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Iran di sini, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, perpaduan umat Islam hendaklah dijaga dalam negara umat Islam dengan tidak menyebarkan pengaruh mazhab Syiah ke dalam masyarakat Islam yang mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab Syafie.

“Membangkitkan isu perbezaan mazhab dan perbahasan hukum yang tidak berkesudahan boleh merosakkan perpaduan umat Islam di negara majoriti Sunni khususnya Malaysiar ujar beliau lagi.

Kenyataan tegas Presiden PAS itu mendapat persetujuan oleh Duta Iran ke Malaysia, Marzieh Afkham.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman.

Kemelut yang berlaku di Asia Barat dilihat semakin meruncing apabila baru-baru ini, tentera laut Britain merampas kapal tangki minyak milik Iran di Selat Gibraltar pada 4 Julai yang lalu kerana disyaki cuba menyeludup minyak ke Syria dan melanggar sekatan Kesatuan Eropah (EU).

Selepas itu, Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) bertindak balas merampas kapal tangki minyak British, Stena Impero, di Selat Hormuz pada 19 Julai 2019 kerana gagal menghormati peraturan maritim antarabangsa ketika melalui Selat Hormuz.

Tindakan Iran ini adalah susulan beberapa tindakan di pihak Amerika yang cuba mencampuri urusan dalaman negara-negara Arab di Asia Barat, seterusnya mencetuskan pergeseran di peringkat antarabangsa yang memerlukan pendekatan diplomasi sebagai jalan penyelesaian. – HARAKAHDAILY 7/8/2019

- Advertisement -