Isu jawi, khat: Islamofobia baru

- Advertisement -

SEBELUM ini, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pernah mengusulkan satu usul persendirian di Dewan Rakyat untuk meminda RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, tetapi dikecam oleh pelbagai pihak termasuk kebanyakan masyarakat bukan Islam kerana tidak senang dengan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas untuk diamalkan oleh orang Islam di Malaysia.

- Advertisement -

Kali ini, hanya kerana pelaksanaan pengenalan kaligrafi khat sebanyak 6 muka surat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4, parti-parti politik yang mewakili sejumlah besar masyarakat bukan Islam di negara ini seperti DAP, MCA, Gerakan dan MIC termasuk NGO-NGO Cina dan India sangat lantang mengecam dasar Kementerian Pendidikan Malaysia. Adakah kaligrafi khat dan tulisan jawi juga menjadikan mereka paranoid terhadap Islam?

Mereka berkumpul, bermesyuarat sehingga tengah malam, melobi, berpakat dan menaikkan sepanduk bantahan untuk menolak pelaksanaan pengenalan kaligrafi khat dan tulisan jawi di sekolah vernakular. Walhal, ia adalah pengisian tambahan seni bahasa untuk memperkenalkan warisan dan sejarah Bahasa Melayu sahaja. Malah, ia akan diajar sebanyak empat kali setahun dan mengambil masa sekitar 10 minit. Hanya ‘tekap, sambung titik dan tiru’. Adakah itu juga menyebabkan mereka takut terhadap Islam?

Asas kepada pensejarahan tulisan jawi telah disorot sejak ratusan tahun dahulu seperti Batu Bersurat Terengganu (1303) dan Surat (1602). Hal ini membuktikan ia adalah monumen penting dan telah menjadi sebahagian besar seni warisan negara serta perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia. Namun, sikap penjajah Barat yang menyuntik jarum halus telah meminggirkan tulisan jawi secara sistematik sehingga menjadikan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi negara.   

Sepatutnya tidak timbul lagi dakwaan tulisan jawi dan kaligrafi khat adalah agenda Islamisasi dan paksaan terhadap pelajar untuk mempelajari Islam. Malah, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) berpendapat sikap prejudis terhadap Islam telah melebarkan hubungan perpaduan kaum di negara ini. Lebih keterlaluan, segelintir daripada mereka bersikap rasis dan hanya mahu mementingkan kepentingan kaum tertentu sahaja. Semua pihak harus berpegang teguh kepada kerukunan asas bernegara dan saling hormat menghormati nilai sejarah bermasyarakat di Malaysia.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Adun Bukit Payung, Terengganu
6 Zulhijjah 1440 | 7 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 7/8/2019

- Advertisement -