Dasar menteri DAP tindas rakyat luar bandar

shahir3
- Advertisement -

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) amat terkilan dan kecewa dengan kenyataan YB Menteri Industri Utama, Teresa Kok, yang secara jelas mengumumkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.
 
Kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) bagi membantu pekebun kecil melakukan penanaman semula. Mereka yang layak menerima bantuan kewangan sebanyak RM7,000 bagi setiap hektar yang diusahakan di bawah skim TSSPK berkenaan. Malangnya, kerajaan PH memperkenalkan dua skim pinjaman iaitu Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS).
 
Persoalannya sekarang, bagaimanakah pekebun kecil mampu meneruskan mata pencarian mereka jika terpaksa membayar balik pinjaman bersama kadar faedah 4% ketika harga komoditi jatuh merudum teruk?

- Advertisement -

Hampir setahun setengah memegang jawatan menteri, rakyat tidak nampak usaha berkesan menteri untuk meningkatkan harga komoditi. Yang ada hanyalah “kempen minum satu sudu minyak sawit”, dilihat tidak memberi apa-apa kesan kepada peningkatan harga komoditi.
 
Pengumuman seperti ini secara terang-terangan menindas rakyat Malaysia yang menetap di luar bandar. Secara amnya, penduduk di luar bandar adalah golongan yang terlibat dalam sektor pertanian. Adakah pengumuman ini dilihat sebagai “hukuman” kepada majoriti penduduk luar bandar seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Perlis yang menolak DAP dan Pakatan Harapan pada PRU14?

Keputusan PRU14 menyaksikan negeri majoriti Melayu adalah di luar bandar dan mereka menolak PH dan DAP. Rakyat Kelantan contohnya menolak 100% calon PH ketika PRU14. Calon gergasi mereka, seperti Husam Musa pun tumbang ketika pilihanraya.
 
Teresa Kok menyatakan bahawa skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Teresa Kok menyatakan dengan lebih lanjut pihak manakah yang dimaksudkan oleh beliau?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mencadangkan agar skim tersebut diteruskan dan diperluaskan kepada pekebun tersusun di Felda dan Felcra. Jika pekebun kecil lain tidak mendapat skim ini, mereka akan terus tertekan dan hilang punca pendapatan. Dasar Menteri DAP seperti “Harapkan pegar, pegar makan padi”. Selamatkan rakyat luar bandar!
 
Selamatkan Kembali Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Naib Pengerusi IKATAN Kelantan
Pemuda Gagasan Sejahtera
6 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 6/8/2019

- Advertisement -