Tamrin Qiadi Bentong bugar perubahan politik semasa

- Advertisement -

BENTONG: Urusan Ulamak PAS Kawasan Bentong telah menganjurkan Tamrin Qiadi yang telah diadakan di Homestay Damai Hijau, Lurah Bilut, di sini bermula 3 Ogos lalu dan berakhir kelmarin.

- Advertisement -

Program dua hari satu malam dan dihadiri hampir 50 peserta ini bertujuan mencapai kesatuan pemikiran dan kesepaduan gerak kerja sebagai asas utama dalam mencapai matlamat gerakan Islam.

Menurut Setiausaha Urusan Ulamak Bentong, Munzir Samsudin, tamrin ini juga untuk memberi kefahaman kepada ‘the wind of change’ politik semasa khususnya ta’awun PAS-Umno pasca PRU14.

“Alhamdulillah, misi berjaya. Tambah bersemangat lagi dengan kehadiran dua ‘munsyi’ perjuangan PAS Bentong iaitu mantan Yang DiPertua PAS Bentong, Abd Hamid Bahatim dan Naib Yang DiPertua, Samsudin Abdullah,” ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pahang, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak membentang kertas kerja bertajuk “Wehdatul Fikri, Wehdatul Amal Syarat Kemenangan”.

Ketika diminta mengulas isu ‘politik itu akidah’ yang sedang hangat dipolemikkan kini, beliau memberikan pencerahan umum mudah mengenai hakikat agama dan politik itu sendiri.

“Dalam Islam ada politik, orang Islam wajib akui. Memperakui dalam Islam ada politik, maka ia adalah sebahagian akidah. Semua amalan dalam Islam berasaskan akidah.

“Tak perlu layan isu sebegini (yang sengaja dipolemikkan). Siapa mengaji, dia tahu,” ujar beliau meyakini bahawa ahli PAS yang ditarbiyah tidak mudah terikut rentak isu disensasikan itu. – HARAKAHDAILY 6/8/2019

IMG 20190806 WA0003

- Advertisement -