PAS jemput Kit Siang temui Dr Zakir Naik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan menghantar jemputan rasmi kepada DAP bagi menghadiri program Dr Zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat ini.

- Advertisement -

Ketuanya Mohd Ariff Abdullah berkata, pihaknya mengundang pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan pimpinan lain hadir pada program tersebut.

“Kehadiran pimpinan DAP akan membuktikan mereka tidak anti-Islam selain sesuai dengan prinsip parti itu iaitu demokratik, bebas bersuara serta boleh menerima kritikan orang lain.

“Kami mengambil amanah menghantar surat jemputan sebagai menyatakan sokongan terhadap program kerajaan negeri serta solidariti kami bersama Dr Zakir Naik,” katanya selepas menghantar surat jemputan kepada Kit Siang melalui DAP Kelantan di sini hari ini.

Bagaimanapaun pejabat berkenaan tidak berpenghuni. Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda Negeri Ustaz Hushaimi Husian, Naib Ketua Pemuda, Ustaz Abdul Malik Abdul Karim Exco Pemuda PAS Kelantan.

Baru-baru ini Kit Siang bersetuju saranan penulis Anas Zubedy supaya Dr Zakir meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Malah hujah itu dipertahankan seorang lagi pemimpin DAP, Ramkarpal Singh yang turut menggesa Dr Zakir diekstradisi ke India.

Dr Zakir akan berada di Kelantan pada Rabu ini bermula dengan program ceramah intelek bersama pelajar dan pensyarah institusi pengajian tinggi di Kelantan Trade Centre bermula jam 8 malam.

Pada Khamis pula ceramah eksklusif bersama penjawat awam di Kota Darulnaim bermula jam 9 pagi.

Dan acara kemuncak pada Jumaat bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke IV bermula kuliah bersama Ustaz Azhar Idrus jam 6.30 petang. – HARAKAHDAILY 5/8/2019

- Advertisement -