Minta pra-tonton telemovie ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak NGO Pendidikan Islam meminta satu sesi pra-tonton telemovie ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ ditayangkan kepada pihak berkepentingan.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, ia menuntut Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menontonnya sebelum telemovie tersebut disiarkan kepada umum.

Jawatankuasa itu memandang serius keresahan sesetengah masyarakat yang khuatir telemovie tersebut bakal memberi imej buruk kepada institusi-institusi Islam di Malaysia.

“Keresahan dan kebimbangan masyarakat umum ada asasnya memandangkan kebelakangan ini terdapat kecenderungan kalangan tertentu memburukkan institusi Islam dan agama Islam amnya dan kemudian mengambil ‘jalan mudah’ meminta maaf.

“Sedangkan perbuatan mereka telah menyebarkan kebencian dan menyemarakkan kemarahan kaum dan agama tertentu. Jadi, pihak penerbit telemovie dan pihak berkuasa penyiaran iaitu RTM didesak tampil menjawab keresahan tersebut,” gesa kenyataan itu.

Selain itu, jawatankuasa tersebut turut menyeru mana-mana pihak penerbitan terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama dalam menerbitkan karya-karya seni yang melibatkan agama Islam.

Kemuka jawatankuasa itu, ia untuk mengelakkan kebimbangan di hati masyarakat selain, untuk memelihara kesucian Islam walaupun diakui telemovie itu mempunyai nilai-nilai, niat dan misi yang baik.

“Niat dan visi yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya jalan cerita, pemaparan watak dan elemen-elemen yang terkandung dalam filem melanggar batas-batas yang dibenarkan oleh hukum syarak dan bersifat menghina agama dan nilai masyarakat,” ujar kenyataan itu.

Baru-baru ini, telemovie ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ telah menerima kritikan dan bantahan susulan posternya tersebar di media sosial walaupun telemovie tersebut belumpun ditayangkan oleh RTM.

Difahamkan, kritikan dan bantahan tersebut tercetus atas dasar telemovie itu mengangkat tema pengamal LGBT di institusi pendidikan tahfiz, sekali gus memberi gambaran buruk kepada yang berkenaan. – HARAKAHDAILY 5/8/2019

- Advertisement -