The Created Collusion

- Advertisement -
DUNIA yang penuh rencam hari ini menimbulkan suasana pertempuran ideologi yang bersifat pertembungan. Apabila tercetusnya pertembungan, maka mata mata manusia akan tertumpu di situ.
 
Inilah lumrah manusia. Pertembungan dianggap sesuatu yang ‘hot’. Sebab itulah berita politik sering mendapat ranking pertama akhbar kerana sering berlakunya pertembungan.
 
Tambahan pula generasi hari ini yang lebih suka dialog yang berbeza fahaman, berbanding forum yang bersifat sealiran, yang agak mengantukkan. Ini kerana pertembungan biasanya mencambahkan fikiran.
 
Dalam industri perfileman, konsep pertembungan (collusion) ini banyak digunakan dalam filem bagi merancakkan lagi jalan ceritanya. Seperti konsep superhero yang pastinya ada musuh ketat yang difilemkan akan kalah di hujung cerita.
 
Boleh lihat dalam banyak kisah di dalam al Quran, Allah S.W.T menzahirkan pertembungan antara haq dengan batil, supaya ia diberi perhatian. Bahkan kebanyakan kisah para Nabi dikaitkan dengan penentangan daripada kaumnya menunjukkan bahawa konsep pertembungan menzahirkan lagi kisah tersebut.
 
Bahkan, konsep النقد atau الجدل dan semaksud dengannya pernah mengembangkan lagi dunia perbahasan falsafah. Seperti pertembungan Pemikiran Socrates dan Sophisme, perselisihan Imam al Ghazali dan Ibnu Rushd, dan Reinansance di era kejatuhan Falsafah Barat menyaksikan pertembungan antara ahli-ahli Falsafah.
 
Hari ini kita tidak dapat lari daripada mengatakan “Wujudnya pertembungan, merangsangkan lagi fikiran”. Begitulah sepertimana yang saya katakan tadi tentang perkembangan dunia falsafah, bahkan perkembangan mazhab-mazhab feqah dalam Islam.
 
Apa yang dimaksudkan dengan “Created Collusion”?
 
Kadang-kadang pertembungan ini sengaja di‘create’ sebagai strategi untuk menarik perhatian atau mem’bom’ sesuatu isu. Ataupun untuk menaikkan individu-individu tertentu melalui propoganda cara ini.
 
Contoh propoganda ‘created collusion’ yang membuahkan hasil ialah ketika pihak Barat ingin menaikkan populariti Mustafa Kamal Atartuk dalam beberapa siri peperangan olok-olok. Antaranya perang di Semenanjung Ghalibuli di Balkan Darnadil. 
 
Setelah itu, nama Mustafa Kamal semakin masyhur sehingga disyairkan oleh penyair terkenal, Ahmad Syauqi, yang menggelarnya seperti Khalid al Walid. Projek created collusion ini semakin masak ranum apabila akhirnya Mustafa Kamal berjaya menjatuhkan khalifah dengan berbekalkan kesilauan (الانبهار) ummat Islam ketika itu.
 
Propoganda biasa dicipta dengan pelbagai persembahan drama. Cuma suka untuk saya utarakan di sini berkenaan dengan kemunculan Islamophobia perlu diteliti dengan sebaiknya dari sudut adakah wujud di sana created collusion ataupun ia tidak disengajakan?
 
Islamophobia Disuburkan Untuk Apa?
 
Istilah ini mula digunakan sejak tahun 80an lagi, kemudian pada 1997, Badan Amanah Runnymede memperkenalkan takrif yang lebih jelas. Setelah itu, pada 2001 berlakunya peristiwa 11 September menzahirkan lagi agenda Islamophobia.
 
Walaubagaimanapun saya melihat bahawa selain ia sengaja di’create’ untuk memburukkan Islam, ia juga sangat membantu menzahirkan lagi Liberalisme seolah olah menterjemahkan Islam cara pandangan baru yang lebih terbuka sebagai reaksi kepada budaya takut terhadap Islam (Islamophobia).
 
Setelah meneliti beberapa fakta, saya berpendapat bahawa propoganda Islamophobia disuburkan di saat ini bagi menyerlahkan lagi liberalism dengan menggunakan strategi created collusion ini. Boleh lihat bagaimana di saat orang melihat Islam itu di pandangan serong, liberalism datang membawa penyelesaian yang terlebih sudu dari kuahnya. 
 
Atau dengan rumus yang lebih mudah, semakin subur Islamophobia dibajakan, semakin tinggi pandangan manusia terhadap liberalism. Liberalism dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah-masalah utama yang ditimbulkan oleh Islamophobia.
 
• Contohnya, di saat masyarakat digambarkan dengan ganasnya Islam, liberalism datang dengan dalil-dalil keharmonian dalam Islam sehingga melangkaui batas syara’ dan prinsip Islam itu sendiri. 
 
• Contoh yang lain, apabila Islam itu digambarkan sebagai agama yang keras, syahid, kolot, mengongkong dan sebagainya, para liberalism akan muncul mendatangkan dalil dalil al Quran dan Hadis yang menghuraikan tentang tolak ansur Islam, kelonggaran Islam, kemodenan Islam dan kebebasan Islam sehingga melangkaui batas syara’.
 
Ini membuatkan Islam itu dipandang dengan pandangan liberalism. Islam dilihat meraikan keharmonian kaum sehingga ‘tiada masalah’ untuk gadaikan satu dua prinsipnya. Seperti dikatakan “prinsip Islam yang ketat ketat tu apa salah dilonggarkan sedikit” walhal hakikatnya mereka longgarkan selonggar-longgarnya.
 
Penafsiran longgar terhadap Islam ini adalah hasil dahsyatnya propoganda Islamophobia. Pertembungan ini seolah olah sengaja dicipta, untuk menzahirkan lagi liberalism. Bahkan men‘tune’ akal ummat Islam supaya meliberalkan agamanya sendiri yang dirasakannya terlalu tegas.
 
Beberapa contoh hasil daripada ‘created collusion’ ini ialah;
 
• Mereka gayat menceritakan tentang hukuman pancung dalam Islam. Lalu mengemukakan idea lain, seperti menyatakan hukuman hudud tak sesuai.
 
• Mereka serba salah untuk melabelkan kafir kepada orang kafir. Sebaliknya mereka menukar kepada penggunaan perkataan non-muslim.
 
• Mereka mengatakan tak wajar cegah LGBT, kerana katanya ia mengganggu hak kebebasan manusia. Lalu dikemukakan dalil-dalil untuk diperkudakan.
 
MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Bangi, Ahad, 4 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 4/8/2019
- Advertisement -