Tun M berpengalaman luas tadbir negara

- Advertisement -

MARANG: PAS berpendirian tegas dan mempertahankan pendapatnya agar Tun Dr Mahathir Mohamad kekal menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri Malaysia, kerana tokoh itu mempunyai pengalaman dan kemampuan memulihkan negara.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Mahathir mempunyai idea tersendiri bagi memulihkan ekonomi negara termasuk di kalangan negara-negara Islam lain.

Menurutnya, Mahathir seorang yang berpengalaman lama dan mempunyai hubungan kenalan ramai dengan pemimpin negara-negara luar.

“Dengan sebab itu, perlu kepada Perdana Menteri mewujudkan keadaan untuk menarik pelabur-pelabur. Apatah lagi beliau mempunyai contact yang lebih banyak daripada orang lain.

“Orang yang baru nak pegang jawatan, yang baru nak tuntut jawatan (Perdana Menteri). Dia (Mahathir) sudah lama dan banyak kenalan di luar negara, ini sangat baik. Dan pernah berpengalaman ketika menghadapi krisis ekonomi tahun 90-an dulu, bagaimana pendekatan dengan negara-negara dunia ketiga, negara-negara Islam. Itu idea-idea yang perlu dilaksanakan.

“Apatah lagi beliau melontar satu idea yang sangat menarik, yang pernah dicetuskan oleh almarhum bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan dan Tun terlibat sama yang dikenali Sidang Kemuncak Kumpulan D8,” ujarnya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian di kediamannya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Namun, kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, Mahathir memperkecilkan sedikit dengan suasana hari ini hanya melibatkan negara Turki, Iran, Pakistan dan Malaysia.

“Itu idea yang dikemukakan dan ini perlu dilaksanakan. Saya rasa biar dia sendirilah melaksanakan, itu lebih sesuai,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2019

- Advertisement -