LKS perlu keluar dari Malaysia, bukan Zakir Naik

- Advertisement -
SAYA membaca laporan yang disiarkan oleh MalaysiaKini berhubung persetujuan Lim Kit Siang agar Dr Zakir Naik keluar dari Malaysia secara sukarela demi menjaga keharmonian berbilang kaum negara ini. Lim Kit Siang dikatakan menyatakan pandangannya itu sebagai tanda setuju dengan saranan penulis Anas Zubedy sebelumnya supaya pendakwah bebas antarabangsa itu meninggalkan negara ini.
 
Saya dukacita dengan pandangan Lim Kit Siang yang merupakan seorang ahli politik veteran di mana beliau sewajarnya telah mana memahami Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini yang membenarkan agama Islam disebarkan kepada bukan Islam dan bukan sebaliknya. Menyifatkan bahawa pendekatan Zakir Naik kurang sesuai dengan negara ini kerana boleh menyebabkan bukan Islam memeluk Islam ialah satu alasan yang dangkal.
 
Dr Zakir Naik tidak pernah memaksa mana-mana pihak menerima pandangannya, beliau hanya berhujah dengan menggunakan kaedah pembandingan agama dan terpulanglah kepada mana-mana pihak untuk menerima atau menolaknya. Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, tiada sebarang alasan untuk menyatakan bahawa pendekatan Dr Zakir Naik itu tidak sesuai untuk negara ini.
 
Jika adapun yang perlu keluar dari Malaysia, orang itu ialah Lim Kit Siang yang gagal memahami Perlembagaan Persekutuan dan bukannya Dr Zakir Naik. Malaysia lebih beruntung jika orang seperti ini tiada di bumi Malaysia.
 
Sekian.
 
AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
1 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 1/8/2019
- Advertisement -