Perundangan Islam: Rakyat disaji seribu alasan

- Advertisement -

DI KELANTAN terdapat kira-kira 400 guru takmir. Mereka mengajar agama di masjid dan madrasah di seluruh Kelantan. Sebulan perlu melengkapkan jadual lapan kali menyampaikan kuliah agama.

- Advertisement -

Elaunnya dibayar sebanyak RM800. Guru takmir dikendalikan di bawah Jakim. Namun guru-guru takmir diingatkan tidak bercakap isu politik ketika berkuliah.

Sejak dahulu sehingga sekarang mesej itu diperingatkan kepada guru-guru takmir. Maknanya politik cuba diasingkan daripada agama.

Sedangkan politik berkembang seiring dengan ritual beragama atau ‘al-Islam huwa ad-din wa ad-daulah’. Ia menjelaskan tidak ada pemisahan antara kekuasaan politik dan agama.

Namun doktrin itu mulai disanggah setelah muncul segelintir pemikir Islam yang terpengaruh dengan doktrin Kristian. Kristian memisahkan konsep negara dan agama.

Pemikiran seperti inilah melahirkan penolakan terhadap khalifah sebagai institusi agama. Antaranya Ali Abdul Raziq (1888-1966) disebut penganjur sekularisme yang memisahkan politik dan agama.

Doktrin itu sepatutnya tidak muncul di era Malaysia Baharu. Alasannya mereka yang mendukungi kerajaan sekarang pernah bermatian berjuang mendaulatkan Islam.

Malah mereka bergelar wakil rakyat dahulu pun kerana mewakili parti yang memperjuangkan Islam.

Namun hari ini, sudah berbeza nada mereka. Di Dewan Negara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof hampir bertelagah dengan Senator Muhamad Mustapha.

Ketika Dr Mujahid menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 peringkat jawatankuasa Muhammad bangun mencelah.

Kata Ustaz Mat, undang-undang syariah adalah hak Allah yang ditetapkan oleh Allah dan tiada hak kerajaan hendak memindanya.

Apa yang berlaku sekarang katanya, hukuman dipinda kerajaan dikenali sebagai takzir.

“Masalah sekarang mahkamah syariah tiada kuasa penuh maka hudud dan qisas semacam dinafikan dan digantikan dengan takzir.

“Perlu diutamakan yang utama tetapi hendak nafi hak Allah itu ia sesuatu yang berat,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Katanya lagi undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan kerana bercanggah dengan undang-undang negara.

Sebaliknya kata menteri, hak umat Islam melaksanakan undang-undang syariah mesti diusahakan oleh peribadi dan mereka yang ada kuasa.

“Kita perlu berbahas dengn lebih luas dan lanjut. Apakah syariah itu disempitkan dalam undang-undang hudud sahaja.

“Seluruh kehidupan kita adalah syariah, menjaga keharmonian adalah syariah,” kata Dr Mujahid.

Beliau juga menyebut Akta 355 berkaitan dengan bidang kuasa supaya tidak berlaku pertembungan antara mahkamah sivil dan syarie.

Ujarnya kerajaan memerlukan kajian yang lebih mendalam. Jelas jalur pemikiran seumpama itu berbeza ketika ramai mengenali ahli parlimen Parit Buntar sebelum ini.

Nampaknya ramai mencari seribu alasan bagi menghalalkan cara. Lebih menyedihkan lagi apabila menteri yang menjaga agama disebut lulusan Al Azhar.

Sedangkan Parti Amanah Negara (PAN) ketika awal kemunculan mendakwa mereka mahu menggantikan PAS bagi mendaulatkan Islam.

Pada 2016 Konvensyen PAN menyebut potensi parti itu menggantikan PAS.

Ternyata rakyat makin dikelirukan. Doktrin pemikirannya tidak jauh berbeza dengan Umno ketika memiliki kuasa.

Apakah berbaloi harapan rakyat apabila menteri menyebut perlu kajian mendalam (holistic) apabila menyentuh isu perundangan Islam.

Apa pun orang Melayu-Islam tidak berminat lagi mendengar ungkapan seperti itu. Pertanyaan mereka mudah, ‘hendak atau tidak’. – HARAKAHDAILY 31/7/2019

- Advertisement -