Pinda segera Akta Kualiti Alam Sekeliling

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mendesak kerajaan supaya segera meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 agar akta relevan dengan isu dan permasalahan semasa yang berlaku selari dengan kepesatan pembangunan ekonomi negara.

- Advertisement -

Beliau mencadangkan sedemikian melihat kepada kegagalan kerajaan hari ini dalam menyelesaikan isu pencemaran alam sekitar yang semakin kritikal sambil memetik contoh pencemaran sisa toksik yang berlaku di Pasir Gudang.

Tambah beliau, apa yang lebih membimbangkan ialah segala aktiviti yang menjejaskan alam sekitar dilihat semakin berleluasa, malah sesetengah kilang haram dengan dan syarikat berkepentingan mengambil peluang mencemarkan sungai dan memusnahkan hutan dengan sewenang-wenangnya.

“Saya meneliti setiap isu pencemaran alam sekitar yang berlaku di negara kita dan tindakan yang diambil oleh menteri berkaitan, namun malangnya nyawa rakyat masih menjadi taruhan apabila pencemaran tetap berlaku dengan semakin rakus,” ujarnya.

Lantaran itu, beliau berpendapat bahawa usul untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekitar perlu dibawa ke persidangan Parlimen akan datang seperti mana hasrat Perdana Menteri untuk mengkaji semula keberkesanan akta itu rentetan isu tergempar pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya berdiam diri walaupun isu pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim dikatakan ‘pulih’.

Beliau berkata demikian atas faktor khuatir kesan pencemaran tersebut masih ditanggung oleh penduduk Pasir Gudang sehingga hari ini.

Oleh itu, beliau berharap agar penguatkuasaan undang-undang negara ini diperketatkan lagi tanpa kompromi dan tolak ansur.

Merujuk kepada hukuman akta tersebut yang dilihat aga ringan, beliau turut menggesa supaya hukuman dan denda ditingkatkan lagi selain mengenakan sekali hukuman sebatan bagi pesalah yang melakukan jenayah alam sekitar yang mana turut mengancam nyawa manusia.

Merujuk Seksyen 34B (4) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana pesalah yang melakukan jenayah membuang sisa toksik berbahaya akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak melebihi RM 500,000.

Manakala hukuman Seksyen 22 (3) bagi kesalahan pencemaran udara dan Seksyen 25 (3) bagi kesalahan melakukan pencemaran sungai adalah denda tidak melebihi RM 100,00 dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar mempertimbangkan untuk mewujudkan hukuman mandatori bagi pesalah yang melakukan jenayah alam sekitar dengan serius dalam akta tersebut.

Katanya, hukuman tersebut adalah wajar dikenakan ke atas pesalah yang melakukan sebarang pencemaran yang kritikal yang mana bukan mengenakan hukuman denda semata-mata ke atas pesalah.

“Sudah tiba masanya, kerajaan mewujudkan hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah kepada penjenayah alam sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling seperti mana di beberapa negara luar.

“Hukuman tersebut mengarahkan pesalah melaksanakan hukuman jangka panjang dengan memulihkan semula sungai yang tercemar.

“Hukuman ini dikenali sebagai ‘restorative justice‘ atau ‘reparative justice‘ oleh pakar undang-undang. Contohnya, di New South Wales Australia, Mahkamah Tanah dan Alam Sekitar (Land and Environment Court) diberi pilihan mengenakan hukuman yang setimpal terhadap penjenayah alam sekitar di negara tersebut,” jelasnya.

Di samping itu, beliau turut mengesyorkan agar kerajaan mewujudkan satu tabung ‘superfund‘ seperti di Amerika Syarikat yang mana setiap syarikat yang mengendalikan bahan terjadual harus menyumbang kepada tabung tersebut.

Dana daripada tabung tersebut digunakan untuk kerja baik pulih kawasan tercemar seperti kejadian di Sungai Kim Kim serta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai untuk jangka masa yang lebih panjang di seluruh Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian, beliau merumuskan bahawa punca terjadinya pencemaran seperti di Sungai Kim Kim sebelum ini kemungkinan berpunca dari penguatkuasaan undang-undang yang lemah serta sikap segelintir pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilihat lebih mesra industri dan perniagaan berbanding mesra alam sekitar. – HARAKAHDAILY 30/7/2019

- Advertisement -