Papan tanda kedai judi telah diturunkan

- Advertisement -

UMAT Islam Daerah Pokok Sena khususnya semalam, 29 Julai 2019 bangkit membantah pembukaan premis judi Sports Toto. Bantahan itu bertitik-tolak daripada keprihatinan beragama.

- Advertisement -

Syukur pagi ini (30 Julai 2019), papan tanda kedai judi telah diturunkan selepas sekitar 12 jam menerima bantahan umat Islam setempat.

Dua kesan paling besar adalah menghalang bertambahnya kegiatan haram di bumi Pokok Sena sementelahan betapa banyak lagi yang tidak terzahirkan.

Pertama, judi adalah haram termaktub di dalam Surah Al-Maidah meski ada lesen diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Kedua, bakal merosakkan adab beragama dan adat berbudaya dalam kalangan bangsa Melayu khasnya yang beragama Islam umumnya.

Seusai demo bantahan aman semalam, penulis sempat bertanya pandangan anak-anak muda yang menyaksikan dari jauh sambil menyiapkan kerja-kerja rutin mereka di hadapan premis.

Terdapat tiga perkara dibangkitkan di hadapan penulis. Sebak mendengar pegangan anak muda zaman kini lantas penulis memberi penjelasan ringkas dengan baik.

1. Isu kecil sahaja tapi dibesarkan oleh parti kerana berpolitik.

2. Bukan dibuka oleh orang Melayu beragama Islam.

3. Kalau orang Melayu dan lslam yang menjadi pelanggan kedai judi itu, mereka sajalah yang tanggung dosa.

Untuk komen 1, penulis menjelaskan kes ini bukan isu politik atau mempolitikkan. Tetapi di dalam Al-Quran telah lama termaktub ketegasan larangan haram terhadap judi. Rujuk dalam Surah Al-Maidah.

Judi tetap haram meskipun ada lesen yang diluluskan oleh Kerajaan Malaysia. Kerajaan ingin menambah pendapatan negara yang perlu dilakukan dengan cara sebegitu.

Pendapatan negara melalui judi meningkat dari tahun ke tahun. Lihat sahaja pertambahan outlet Sports Toto di seluruh negara. Mengikut Penyata Pengerusi Sports Toto, pada 1999 sahaja, mereka mempunyai 686 outlet.

Barang diingat, statistik di atas merupakan angka pada 20 tahun lalu. Kini sudah di ambang 2020.

Di Kedah sahaja, mereka telah beroperasi sebanyak 20 outlet dan terbaharu di Pokok Sena ini yang ke-21.

Untuk komen 2, penulis menyatakan meskipun yang membuka premis itu bukan Islam namun pastinya pelanggannya adalah orang-orang Melayu.

Sudahlah anak-anak muda di semua kampung yang boleh dikatakan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti dadah dan sebagainya.

Dengan adanya premis secara terbuka ini, pasti akan menambahkan lagi luka berdarah jiwa umat Islam yang majoriti sudah penat lelah dengan pelbagai isu semasa.

Untuk komen ke-3, penulis menjalaskan umat Islam wajib bangun membantah kegiatan ini. Kerana dengan tindakan membantah ini, paling kurang, dapat mengelakkan semua orang; Muslim dan bukan Muslim daripada terkena bala Allah SWT kerana bala bila sudah turun, ia meratai terkena kepada semua orang sama ada baik atau tidak.

Kerana itu bantahan perlu dibuat oleh umat Islam yang prihatin dengan isu berbangkit.

Begitulah tiga komen yang dibangkitkan oleh anak muda zaman ini. Mereka sudah dilanda budaya liberal yang tidak mengambil kira keperluan beragama dalam melihat sesuatu isu.

Melihat kepada pegangan liberal anak muda zaman ini, masih terlalu banyak usaha perlu dilakukan apatah mendepani pengundi muda seawal usia 18 tahun dalam PRU mendatang.

Ada juga komen mengatakan, sudah lama kegiatan ini berlaku tetapi berbentuk dalaman. Penulis menyatakan, kita membantah yang hanya nampak jelas di hadapan mata. – HARAKAHDAILY 30/7/2019

- Advertisement -