Sudahlah menipu PRU14, kini tabur janji lagi

- Advertisement -
PEMUDA PAS Sarawak menyambut baik kehadiran ramai Menteri dan Timbalan Menteri ke Sarawak kelmarin. Antara Menteri yang hadir seperti Menteri Pertahanan, Menteri KPDNKK, Menteri KDN, Menteri KPKT, Menteri Kerja Raya serta suami kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan calon Perdana Menteri ke-8. 
 
Kehadiran Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan ke Sarawak memberi gambaran kepada penduduk bahawa Sarawak akan dilimpahi dengan ratusan projek gergasi dan banyak masalah rakyat dapat diselesaikan dengan kadar segera. 
 
Seperti yang dilaporkan, majlis makan malam PH di Imperial Hotel Kuching kelmarin adalah anjuran PH Sarawak yang diketuai oleh DAP. Namun DAP Sarawak hanya mengarahkan PAN sebagai rakan politik untuk menguruskan keseluruhan majlis semalam. Ia di akui oleh salah seorang pemimpin PAN Sarawak dalam kenyataan beliau yang dimuat naik di Facebook miliknya.
 
Selepas mendengar ucapan pemimpin utama PH dalam majlis kelmarin, rata-rata mereka menceritakan kejayaan pemerintahan PH hari ini, kononnya lebih terbuka, meletakkan kebebasan bersuara sebagai prinsip perjuangan dan berlaku adil untuk semua. Persoalanya adakah ia benar? Hakikatnya semua itu adalah satu penipuan dan janji palsu. 
 
Majlis semalam menjadi agak janggal apabila tokoh utama PH tidak mengangkat janji-janji dalam Manifesto PH untuk Sarawak, contohnya meningkatkan pelaburan dan peluang pekerjaan untuk rakyat, akses kemudahan asas yang lebih sempurna di kawasan luar bandar, meningkat kualiti pendidikan, juga hak Sarawak menguruskan hasil petroleum dengan sendiri.
 
Sebaliknya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menempelak Sarawak dalam soal mengurus hasil balak dan alam sekitar yang dikatakanya gagal diurus dengan baik. Apa yang menarik perhatian kami, Anwar terus menyebut dan memperkatakan PAS dalam ucapan beliau, sedangkan PAS tidak bersama GPS di Sarawak. 
 
Adakah Anwar mengakui akan kekuatan PAS di Sarawak? Atau beliau melihat potensi PAS Sarawak menjalin hubungan baik dengan GPS seperti PAS dan Umno di Semenanjung Malaysia. Hakikatnya, Pemuda PAS Sarawak melihat Kerajaan PH tidak membantu rakyat Sarawak bahkan terus menganaktirikan kami dalam soal pendidikan dan pembangunan. 
 
Sebagai contoh Lee Guan Eng selaku Menteri Kewangan menyebut bahawa tidak akan memberi peruntukkan penambahbaikan sistem dan infrastruktur pendidikan sehingga Sarawak membayar hutang pada Kerajaan Persekutuan. Semua janji yang ditaburkan sebelum ini hanya janji palsu serta merendah-rendahkan maruah rakyat Sarawak yang mengharapkan satu pembaharuan dalam kerajaan yang baru ini untuk Sarawak.
 
Dewan Pemuda PAS Sarawak sekali lagi mengingatkan seluruh rakyat Sarawak agar tidak terus percaya dengan janji palsu serta meletakkan ‘harapan baru’ kepada PH untuk membela dan menjaga kita. Cukuplah PRU14, PH telah mengkhianati dan menipu kita. Jadikan ia sebagai pengajaran pahit untuk kita membina Sarawak Sejahtera tanpa PH.
 
“Untukmu Sarawak”
“Demi Islam”
 
HAMDAN SANI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 29/7/2019
- Advertisement -