Iktibar kematian Orang Asli Kuala Koh

- Advertisement -

PAS ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar, Bomba Penyelamat Malaysia dan semua pihak yang membantu dalam operasi yang dikategorikan bencana Peringkat 1 berkenaan.

- Advertisement -

Menteri Kesihatan Malaysia telah menjelaskan kes berkenaan telah melibatkan kawasan Kuala Koh, Gua Musang Kelantan; Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu; dan Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang. Keseluruhan sebanyak 190 kes dengan gejala saluran pernafasan dikenalpasti dan 92 darinya disahkan mengidap Measles. 4 kematian yang berlaku adalah disebabkan oleh jangkitan Measles, iaitu 3 di Kelantan dan 1 di Terengganu.  Manakala 12 lagi kematian belum dapat disahkan (Kenyataan Akhbar – 13 Julai 2019). Usaha pemvaksinan juga telah dijalankan.

Manakala Timbalan Perdana Menteri telah mengesahkan, hasil dari kajian Jabatan Alam Sekitar yang telah dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard, yang dikeluarkan pada 12 Jun 2019, menunjukkan bahawa, sampel air adalah bersesuaian dengan standad air mentah, tiada hasil buangan dari lombong yang terletak 3 kilometer dari penempatan, malah tiada racun serangga atau racun rumpai yang mengalir dari ladang kelapa sawit. (The Star 14 Jun 2019).

Jelas bahawa kes berkenaan bukan hanya bertumpu di Kuala Koh, Kelantan semata-mata dan mempunyai ciri-ciri penyakit berjangkit. Selain itu kenyataan Timbalan Perdana Menteri membuktikan bahawa tuduhan berlaku pencemaran atau keracunan menjadi sebab kematian mereka adalah sesuatu yang tidak berasas. Adalah tidak wajar, dalam keadaan agensi-agensi Kerajaan Pusat yang membuat pengesahan punca, kerajaan negeri cuba diburukkan dengan kaedah persepsi dan fitnah.

Secara umumnya, masyarakat Orang Asli memang terdedah kepada pelbagai penyakit kesihatan dan ada kalanya boleh membawa kepada kematian. Faktor pendidikan, sosioekonomi yang terpinggir serta sistem perumahan, sanitasi dan nutrisi yang tidak mencukupi merupakan penyumbang kepada masalah tersebut. Walaupun telah ada usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam memperbaiki keadaan Orang Asli ini, namun semua usaha tersebut adalah bersifat sementara dan simptomatik tanpa adanya dasar yang jelas untuk memperkasa masyarakat tersebut.

Malangnya kepada masyarakat Orang Asli ini, situasi sukar yang mereka alami telah dimanipulasi oleh sesetengah pihak untuk kepentingan politik. Malah, kerajaan negeri Kelantan yang mempunyai skop  dan kapasiti yang  terhad di dalam membantu masyarakat ini telah dikritik tanpa henti. Media juga telah mengambil sikap menyalahkan kerajaan negeri dan membentuk persepsi yang silap daripada sepatutnya iaitu membentuk jambatan menghubungkan semua pihak yang berkepentingan untuk kerja bersama bagi kepentingan Orang Asli.

Justeru, kami menyeru kepada satu agenda yang tuntas yang akan memberikan manfaat yang lebih besar kepada Orang Asli sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang. Semua agensi kerajaan negeri dan kerajaan pusat, terutamanya Jabatan Kemajuan Orang Asli perlu berkerjasama dalam melaksanakan polisi-polisi dan program-program yang mencerminkan situasi kritikal yang mereka hadapi. Sasaran yang tepat dan indikator pencapaian perlu ditaklifkan dengan jelas bagi memastikan semua usaha tidak menjadi sia-sia.

DR. MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi Lujnah Kesihatan PAS Pusat
29 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 29/7/2019

- Advertisement -