Perbadanan Labuan biayai siri drama Gerak Khas?

- Advertisement -
PAS Kawasan Labuan menuntut penjelasan daripada Perbadanan Labuan mengenai pembiayaan penggambaran drama Gerak Khas bersiri.
 
Dalam masa 2 hari ini PAS Labuan berusaha membuat temujanji dengan pihak pengurusan tertinggi PL bagi meminta penjelasan berkenaan dengan isu tersebut tetapi gagal, maka kenyataan ini kami teruskan demi untuk mendapat penjelasan sebenar. 
 
PAS Labuan mendapat maklumat bahawa pengambaran drama tersebut telah mendapat pembiayaan daripada pihak PL. 
 
Adakah ini benar?
 
Maklumat juga menyatakan bahawa pembiayaan tersebut termasuklah tiket penerbangan, pengangkutan pergi dan balik ke lokasi pengambaran sehinggakan sebuah Van bernombor pendaftaran kenderaan LF 1324 telah ditanggalkan pelekat PL demi untuk menyembunyikan penggunaannya daripada dikesan oleh orang ramai. 
 
Adakah ini juga benar?
 
Tambahan pula, dari sumber itu menyatakan bahawa pada peringkat awal, pihak penerbit dan produksi Gerak Khas tidak setuju membuat pengambaran di Labuan atas sebab jarak yang jauh hendak membawa peralatan dan kru ke pulau ini. Namun pihak tertentu dari PL sangat beria-ia agar pengambaran tersebut dibuat di sini walaupun melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Rentetan itu, pihak PL pula setuju untuk membiayai kos pengambaran tersebut.
 
Adakah ini juga benar?
 
Oleh itu PAS Labuan menuntut penjelasan tuntas dari pihak pengurusan PL tanpa menyembunyikan perkara sebenar atas alasan apa PL membuat pembiayaan ini. 
 
PAS Labuan memandang penjelasan ini sangat penting demi membersihkan persepsi buruk terhadap pengurusan PL yang sudah tersebar dikalangan penduduk Labuan ketika ini. 
 
Sekiranya penjelasan perihal hal ini gagal dijawab, maka PAS Labuan bimbang integriti PL sebagai satu badan berkanun akan terjejas. Hal ini bakal mengundang krisis kehilangan keyakinan rakyat terhadap pihak pengurusan. 
 
PAS Labuan tidak akan teragak agak untuk membuat laporan kepada pihak SPRM bagi menyiasat aduan rakyat ini demi mengekalkan dan menyelamatkan pengurusan perbadanan bersih daripada unsur unsur salahguna kuasa. 
 
HAJI HAMIR ZAHARI
Yang DiPertua
PAS Kawasan Labuan
27 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 27/7/2019
- Advertisement -